24 Disember 2014


SHAH ALAM - Walaupun kerap diperkatakan, masalah perpecahan orang Melayu masih belum berjaya diselesaikan kerana tiada tindakan berkesan yang diambil.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, pelbagai pihak termasuk pemimpin dan bekas pemimpin hanya bercakap mengenai perpecahan, namun tidak mencadangkan penyelesaian.


“Isu ini sudah dimainkan terlalu lama dan rakyat muak. Tetapi apa kesudahannya?

“Sebagai rakyat, apa yang kita mahukan jalan penyelesaian,” katanya, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu mengalami perpecahan sehingga terpaksa mengemis sokongan orang bukan Melayu.

Hasan berkata, kenyataan Dr Mahathir ada kebenarannya tetapi bekas pemimpin nombor satu negara itu sendiri perlu memainkan peranan dengan pengaruh dimilikinya.

“Kalau mahu satupadukan orang Melayu, perlu dimulakan golongan pemimpin terlebih dahulu. Dr Mahathir sendiri misalnya boleh guna pengaruhnya berbincang mengenai penyatuan (antara Umno) dengan pemimpin tertinggi Pas dan PKR.

“Lupakan seketika perbezaan politik, sebaliknya masing-masing cari penyelesaian. Jika dapat dilaksanakan, maka perpecahan orang Melayu bukan lagi menjadi isu sekadar dicanang-canang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MPM juga mengambil inisiatif menganjurkan Perhimpunan Renaisans Melayu pada 10 Januari ini, bagi mengumpulkan orang Melayu pelbagai peringkat umur dan tanpa mengira fahaman politik.

“Sebagai NGO, ini usaha kita lakukan jika pemimpin tidak boleh bertindak. Malah, kita menjemput pemimpin daripada pelbagai parti menyertai perhimpunan ini.

“Agendanya untuk mencari kekuatan orang Melayu dalam pelbagai bidang. Kita berharap dapat mencapai kata sepakat dan resolusi penyatuan orang Melayu,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!