31 Disember 2014


KUALA KANGSAR - Kehadiran Datuk Lee Chong Wei ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam sedikit mengejutkan petugas yang sama sekali tidak menyangka kehadiran jaguh badminton dunia itu.

Beliau yang tiba di PKTK tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari sempat menyampaikan beberapa pek minuman kepada anggota keselamatan yang bertugas di situ.

Ikon sukan negara itu kemudiannya beramah mesra dengan anggota keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan banjir di daerah Kuala Kangsar.

Jaguh badminton itu kemudiannya bergerak ke Rumah Rehat Kuala Kangsar bagi menyerahkan bungkusan baju dibawanya yang bakal diserahkan kepada mangsa banjir.

Kunjungan beliau turut diiringi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad sebelum menuju ke Senggang untuk bertemu mangsa banjir di sana.

Seorang anggota yang bertugas di situ, Imran Khan Syed, 20, berkata, meskipun dirinya terkejut disapa, namun tetap berasa gembira dan terharu.

"Kehadiran beliau nyata menggembirakan kami yang bertugas di sini dan pastinya mangsa banjir yang bertemu dengannya juga akan merasai perasaan sama.

"Bukannya mudah untuk melihat seorang jaguh dunia datang ke tempat kita dan kehadiran beliau pastinya akan menceriakan wajah-wajah mangsa banjir di sini," katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!