5 Disember 2014


Sebaik sahaja Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor yang baharu, rakyat khususnya di negeri tersebut merasa lega kerana kemelut politik sudah berakhir.

Penyokong Pakatan Rakyat juga merasa lega kerana, krisis menteri besar Selangor itu memberi persepsi buruk terhadap gabungan tiga parti pembangkang. Ramai melihat, ketika krisis itu sedang berlaku, pemimpin Pakatan Rakyat lebih sibuk berebut kuasa berbanding bekerja demi kepentingan rakyat.

Rakyat Selangor dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara melihat pelantikan Azmin sebagai satu signal bahawa bermulalah era generasi kedua dalam gabungan tersebut.

Azmin diharapkan dapat menjalankan tugas dengan baik dan memberi contoh kepada pentadbiran negeri lain.

Ya benar, Azmin dengan bantuan publisiti media ala Jokowi memberi harapan baru kepada rakyat. Panjat lori sampah, masuk longkang dan turun ke sawah, gimik yang memukaukan.

Azmin dinamakan sebagai Jokowi Malaysia atau ada juga yang memanggil beliau 'Jokomin'.

Namun, itu hanya persepsi terhadap Azmin bukan kepada Pakatan Rakyat.

Selepas krisis menteri besar berakhir, kemelut dalam Pakatan Rakyat masih juga tidak reda. Bermula dengan isu pelantikan exco, DAP dan PAS masih lagi dilihat tidak sehaluan.

DAP yang mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), sama seperti PAS mendesak agar parti Islam itu dikurangkan jumlah kerusi exco, tidak seperti ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai pentadbiran Selangor. Ketika itu, PAS mendapat empat jawatan exco.

Alasan yang diberikan oleh DAP ialah kerana PAS dilihat menyokong untuk Abdul Khalid kekal sebagai menteri besar, tidak senada dengan mereka dan PKR.

PAS dilabelkan pengkhianat oleh DAP hanya kerana empat exco tidak meletak jawatan dan terus menjalankan tugas seperti biasa ketika semua exco PKR dan DAP digugurkan oleh Abdul Khalid.

Kehendak DAP dituruti Azmin dengan mengurangkan kerusi exco untuk PAS dan memberikan kepada PKR menjadikan komposisi barisan exco Selangor empat PKR, DAP dan PAS masing-masing mendapat tiga kerusi.

Selesai bab kerusi exco. Rakyat sekali lagi berharap semuanya akan berakhir.

Tetapi malang, DAP nampaknya tidak berminat untuk menghentikan sengketa dengan PAS. Bermacam kenyataan dikeluarkan yang menguris hati ahli-ahli dan sebahagian pemimpin PAS.

Bagi DAP, itu tidak mengapa kerana mereka sahajalah yang berjuang bermata-matian untuk memastikan Pakatan Rakyat berjaya.

PAS, bagi DAP, merupakan musuh mereka selain Barisan Nasional (BN).

Apabila bermula sidang Dun Selangor baru-baru ini, DAP cuba untuk mendapatkan jawatan timbalan speaker dengan mencalonkan Adun mereka bagi jawatan tersebut.

Umum tahu, jawatan timbalan speaker sebelum ini disebut-sebut akan diserahkan kepada PAS selepas penyadang sebelum ini, Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatan kerana dilantik sebagai exco.

Usaha DAP untuk meletakkan Adun Sekinchan Ng Suee Lin tidak berjaya kerana Adun Bangi Dr Mohd Shafie Ngah yang mewakili PAS memperolehi jawatan tersebut dengan 28 undi.

Gagal memperolehi jawatan menerusi undi, DAP buat hal lagi dengan membuat tuntutan agar diwujudkan jawatan timbalan speaker kedua.

Dengan mengemukakan tuntutan tersebut maka tidak hairan jika ada yang mengatakan DAP 'tamak kuasa' kerana jawatan Speaker Dun Selangor diisi oleh Adun mereka.

Apakah tuntutan jawatan timbalan speaker kedua ini dibuat semata-mata kerana PAS mendapat jawatan timbalan speaker?

Jika benar, apakah DAP memang tidak senang dengan PAS dan sengaja cari pasal?

Adakah DAP merasakan menimbulkan polemik demi polemik lebih penting berbanding memberi khidmat kepada rakyat?

Adakah DAP merasakan tidak ada keperluan lagi untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat?

Jika benar pemimpin DAP tidak senang dengan beberapa kerat pemimpin PAS, apakah perlu hingga ke tahap menimbulkan satu demi satu polemik yang merimaskan?

Adakah DAP sedar, tindakan mereka ini, menjarakkan lagi sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat?

Tidak cukup lagikah?

Apa sebenarnya yang DAP mahu?

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!