24 Disember 2014


LAHAD DATU: Dua beradik termasuk kanak-kanak berusia 11 tahun maut, dipercayai ditetak oleh jiran mereka di perumahan pekerja Ladang Bagahak 1 dekat sini, semalam.

Kejadian itu disedari kira-kira jam 8 pagi oleh beberapa jiran apabila menemui dua beradik itu, Azuan Ardi, 11, dan kakaknya, Asmidah, 16, terbaring dalam keadaan berlumuran darah dalam rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, berkata ketika kejadian ibu bapa mangsa yang juga warga Indonesia keluar bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran, manakala empat anaknya termasuk kedua-dua mangsa sedang tidur di rumah.


Beliau berkata, Asmidah disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari ladang berkenaan, manakala adiknya maut di tempat kejadian.

"Kedua-dua mangsa maut akibat kesan tetakan menggunakan senjata tajam dipercayai parang. Berdasarkan siasatan, seorang lagi adik mangsa berusia lapan tahun mengadu melihat suspek berada dalam rumah mereka sambil memegang parang panjang.

"Suspek berjiran dengan ibu bapa mangsa sejak sembilan bulan lalu dan mereka dikatakan tiada sebarang masalah.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

"Polis juga sudah melancarkan gerakan memburu suspek berusia 23 tahun itu di sekitar ladang kelapa sawit berkenaan dengan bantuan unit anjing pengesan (K9)," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BH Online
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!