2 Disember 2014


PASIR PUTEH – Seorang wanita dipukul lalu ditoreh muka oleh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya yang terletak di Wakaf Berangan, petang kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 2 petang ketika wanita terbabit berada dalam bilik air, manakala ibunya, 58, sedang berehat di bahagian dapur rumah.

Deputi Superintendan Abd Rozak Muhammad berkata, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan meluru masuk ke rumah mangsa dengan memakai topi keledar yang mempunyai 'visor'.

"Seorang suspek menendang pintu bilik air dan menarik mangsa ke ruang tamu sebelum terserempak dengan ibu mangsa di dapur. Mangsa kemudian diarah mencabut cincin emas dipakai ibunya, selain dibawa ke satu bilik," ujar Ketua Polis Daerah Pasir Puteh itu lagi.

Pihak polis percaya suspek berniat untuk merogol mangsa kerana cuba menanggalkan seluar. Hasrat itu terbatal seketika mendengar panggilan rakannya yang berada di luar bilik.

Suspek kemudian bertindak ganas dengan menumbuk mangsa yang berusia 22 tahun serta menoreh pipi sebelah kiri wanita itu. Ibu mangsa turut cedera di dahi dan bibir.

“Kedua-dua suspek melarikan diri apabila terdengar jeritan seorang adik mangsa yang menyembunyikan diri dalam bilik lain," tambah Rozak lagi.

Mangsa kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!