9 Disember 2014


Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengharamkan kumpulan penyokong bola sepak yang menamakan diri mereka 'Inter Johor Firms' (IJF) daripada memasuki Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos untuk seumur hidup.

PBNJ, dalam kenyataan menerusi laman sosial rasminya, hari ini, menyebut kumpulan IJF itu diharamkan daripada memasuki mana-mana stadium yang membabitkan perlawanan pasukan Johor.

"PBNJ dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia mendapat perkenan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk menghalang kegiatan kumpulan pelampau yang mencemar imej negeri Johor," kata persatuan itu.

Menurut PBNJ, keputusan itu bukan disebabkan oleh kejadian kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam, tetapi kerana Tunku Ismail mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana organisasi yang mengamalkan ideologi 'hooligan'(samseng).

Kumpulan IJF itu didakwa terbabit dalam kekecohan di Stadium Shah Alam, malam tadi ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam sehingga mengakibatkan seorang penyokong lawan cedera.

TMJ, menurut kenyataan itu turut bertitah pihak yang bertanggungjawab memberi imej buruk dan memalukan negeri Johor akan ditangani dengan segera.

Ini kerana kata baginda yang juga Presiden PBNJ, kumpulan pelampau seperti ini tidak diiktiraf sebagai warga Johor.

"Orang-orang seperti ini yang memberi nama buruk perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh sekalian rakyat Johor," menurut baginda sebagaimana titah dalam kenyataan oleh PBNJ itu.

Sementara itu IJF, dalam komen balasnya menerusi akaun Facebook organisasi itu berkata, ia akur dengan titah TMJ dan membubarkan kumpulan penyokong bola sepak itu serta merta.

Ia bagaimanapun mempersoalkan sama ada benar anggota IJF terbabit dalam insiden memukul penyokong Vietnam di Stadium Shah Alam, malam tadi.

"Bukan nak menafikan tetapi di sini saya ingin bertanya, berapa ramaikah yang bertopeng dan berjaket hitam di SSA (Stadium Shah Alam) semalam?

"Adakah semuanya datang dari IJF? Fenomena bertopeng ni bukan sahaja pada IJF, malah seluruh Malaysia."

"Isu memukul penyokong Vietnam, adakah betul IJF yang buat," kata IJF.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!