11 Disember 2014


BUNYI hingar-bingar dan pengunjung bersesak-sesak sambil menari mengikut rentak lagu menjadi pemandangan biasa di kelab-kelab malam di London.

Namun, di satu sudut di bandar popular dalam kalangan pelancong itu, situasi klise kelab malam sangat berbeza ketika menginjakkan kaki ke The Silent Disco.

Di kelab itu, pengunjung rancak menari tetapi tiada langsung kedengaran bunyi kuat muzik seperti di kelab-kelab malam biasa.

Ia kerana, muzik-muzik kuat tersebut hanya boleh didengar menerusi fon kepala yang wajib dipakai para pengunjung bagi menikmati lagu yang dimainkan oleh deejay kelab.

Disebabkan itu, mereka yang tidak mahu menari atau mendengar muzik, boleh menanggalkan fon kepala tersebut dan berbual dengan tenang bersama rakan-rakan.

Kelab istimewa itu disediakan sebuah kelab malam di The Shard, London iaitu sebuah bangunan yang mempunyai ketinggian 310 meter.

Pengunjung ke kelab unik itu boleh memilih rangkaian lagu menerusi tiga pilihan berbeza mengikut warna fon kepala iaitu merah, biru dan hijau yang mempunyai deejay tersendiri.

Ketiga-tiga pilihan tersebut membolehkan pengunjung mendapat pengalaman yang berbeza dengan rakan-rakan yang lain kerana mereka boleh menukar muzik mengikut selera sendiri,” ujar salah seorang deejay dari warna hijau, Alex Rochford.

Di satu sudut kelab itu, sekumpulan pengunjung dengan warna fon kepala yang sama menari beriringan mengikut rentak lagu. Mereka rancak menari lagu No Scrubs dari TLC yang dimainkan dalam pilihan warna hijau.

Berbeza pula dengan pengunjung yang menggunakan fon kepala warna biru yang asyik mendengar lagu That’s the Way (I Like It) oleh KC and The Sunshine Band

“Ia sangat menakjubkan. Anda hanya perlu datang bersama kumpulan kecil sekiranya mahu ke kelab ini.

“Ini tidak bermakna saya tidak suka berkunjung ke kelab biasa tetapi kelab senyap memberikan kelainan tersendiri,” ujar salah seorang pengunjung, Geraldine Copley-Smith.

Konsep tersebut dibawa oleh deejay dari Belanda, Nico Okkerse yang pertama kalinya menganjurkan kelab senyap tersebut pada tahun 2002 dan kini meneruskan inisiatifnya tersebut di www.silentdisco.com.

FON kepala dengan tiga pilihan warna yang mempunyai lagu berbeza.

Namun, dia tidak menjenamakan konsep kelab itu kerana berpendapat ia tidak akan menjadikannya sebagai seorang jutawan.

Okkerse melihat konsep kelab senyap itu mula mendapat perhatian berdasarkan pengenalan teknologi-teknologi baharu.

“Kapasiti jalur lebar dan pengenalan generasi baharu telefon pintar menyebabkan banyak acara-acara besar menggunakan konsep itu. Ia dapat dianjurkan tanpa menggunakan peralatan yang banyak,” ujarnya.

Apabila merasakan kelab malam senyap itu kelihatan terlalu biasa, seorang warga Amerika Syarikat, David Zangwill mengubah konsep itu dengan menganjurkannya di kawasan terbuka.

Dia melancarkan Silent Disco Squad iaitu sebuah organisasi parti dalam taman dan pengangkutan awam menggunakan fon kepala.

“Kami berkumpul, menari dan menyebarkan kegembiraan tersebut kepada penduduk sekitar. Ia diakhiri dengan pelukan secara beramai-ramai,” ujarnya.

Situasi sama turut dirasai di The Shard apabila kehangatan kelab malam turut memuncak ketika deejay memainkan lagu Afterglow oleh Wilkinson.

Walaupun suasana tidak seperti kelab konvensional, perasaan teruja dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah setiap pengunjung di kelab malam senyap tersebut.

“Saya melihat rata-rata pengunjung berkongsi kegembiraan yang sama. Mereka hanyut dengan alunan muzik kelab yang dimainkan,” ujar pengunjung, Stuart Taylor.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!