10 Disember 2014


Reputasi Malaysia sebagai syurga kepada kaki golf semakin terserlah apabila meraih Anugerah Destinasi Golf Terbaik Asia pada majlis Anugerah Golf Dunia di Hotel Conrad Algarve, Portugal 15 November lalu.

Els Club Teluk Datai yang baru dibuka baru-baru ini, dan direka oleh legenda golf Ernie Els dalam kawasan hutan hujan berusia 10 juta tahun itu di Langkawi dianugerahkan sebagai Lapangan Golf Baharu Terbaik di Asia.

Penganjuran Anugerah Golf Dunia itu bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada industri pelancongan golf, lapangan dan destinasi golf bertaraf dunia.

Anugerah berkenaan adalah sebahagian daripada Anugerah Pelancongan Dunia yang kini meraikan ulang tahun ke-21 sebagai 'anugerah Oscar industri pelancongan'.

Proses pengundian yang dijalankan di seluruh dunia bagi anugerah itu tahun ini, bermula pada 20 Jun dan ditutup 2 Oktober lalu membabitkan undi dalam kalangan individu terbabit dalam industri pengembaraan dan pelancongan golf serta media profesional dari 130 negara.

Undian juga dilakukan oleh orang ramai (pelanggan pelancongan golf) yang dihantar secara dalam talian melalui laman web Anugerah Golf Dunia.

Persatuan Pelancongan Golf Malaysia (MGTA) yang memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memasarkan Malaysia sebagai destinasi golf kepada pelancong antarabangsa, teruja dan bangga dengan pencapaian tersebut.

Presiden MGTA, Ng Eu Shen melahirkan rasa bangga atas pengiktirafan antarabangsa itu dan gembira dengan anugerah yang dimenangi peserta industri golf tempatan berkenaan yang merupakan anggota aktif persatuan itu.

"Kita tidak akan dapat memenangi anugerah ini tanpa sokongan berterusan Tourism Malaysia dalam mempromosi Malaysia sebagai destinasi golf.

"Anugerah ini satu pengiktirafan kepada pembangunan cemerlang Malaysia dalam industri golf, perkhidmatan dan kemudahannya yang terbaik serta kerjasama daripada swasta," katanya.

Beliau menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai destinasi golf terbaik bukan sahaja kerana lapangan golf yang hebat di negara ini tetapi Malaysia juga memiliki produk dan perkhidmatan yang berbaloi dengan wang dibelanjakan.

Malaysia, sebuah negara yang mempunyai pelbagai tarikan, adalah syurga kepada kaki golf dengan menawarkan pilihan lebih 200 padang golf yang dibuka sepanjang tahun.

Tahun lalu, perolehan hasil daripada industri pelancongan golf melebihi RM300 juta berbanding RM296 juta pada 2012. Sasaran tahun ini adalah untuk mencapai RM310 juta.

MGTA ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran global terhadap Malaysia sebagai 'Menyimpan Rahsia Terbaik Asia' ketika mereka datang bercuti di sini, untuk bermain golf.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!