4 Disember 2014


Misi Harimau Malaya pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF edisi ke-10 bukan sekadar menggenggam kemenangan tetapi pengendalinya Dollah Salleh meletakkan sasaran untuk mendapatkan kelebihan dua gol untuk dibawa ke pertemuan kedua kelak.

Bermain di tempat sendiri dalam pertemuan pertama di Shah Alam Ahad ini, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, ditambah pengalaman yang ada pada para pemain, dia yakin misi itu mampu dilunaskan walaupun sebelum ini Harimau Malaya dikritik hebat oleh majoriti peminat yang tidak percaya terhadap potensi pemain-pemainnya.

Baginya, tekanan-tekanan sebegitu akan membuatkan pemainnya lebih bersemangat bagi membuktikan sesuatu sebagaimana mereka tunjukkan ketika membenam Singapura 3-1 di hadapan kira-kira 50,000 penyokong mereka.

“Bermain di tempat sendiri, kita akan cuba memburu sekurang-ku­rangnya dua atau tiga gol sebelum kita ke Hanoi, saya cukup yakin sasaran ini mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman para pemain.

“Saya tahu skuad ini dikritik hebat (setelah gagal menang dalam dua perlawanan awal di peringkat kumpulan di Singapura) namun saya anggap itu sebagai lumrah dalam bola sepak, saya tidak terasa dengan apa yang peminat katakan.

“Ada satu atau dua pemain yang melenting namun saya ambil contoh Safee (Sali), dia berjaya menghadapi tekanan tanpa masalah, se­baliknya semakin menyerlah ketika bertemu Singapura,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM semalam.

Safee menjadi mangsa sindirian peminat Singapura menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A apabila gambarnya sedang mero­kok di tempat awam disebarkan di internet, tetapi pemain itu membalas dengan menjaringkan satu gol.

Namun, kini skuad negara didendang kata pujian oleh para peminat walaupun bermula dengan kurang menyakinkan apabila seri tanpa jaringan dengan Myanmar dan kalah 2-3 kepada Thailand.

Keadaan semasa merubah imej Dollah yang kini dijulang umpama wira oleh para peminat sehinggakan tiket perlawanan Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam yang dijual dalam talian dikhabarkan telah habis.

Bercakap soal persiapan bertemu Vietnam, Dollah berkata, dia mengenali beberapa pemain yang disifatkan cukup berbahaya dan perlu disekat jika tidak mahu melihat Harimau Malaya berputih mata.

“Berdasarkan maklumat yang saya dapat daripada jurulatih Datuk Ong Kim Swee, beberapa pemain Vietnam iaitu No. 10 (Nguyen Van Quyet), No. 7 (Ngo Hoang Tinh) dan No. 19 (Pham Thanh Luong) perlu diberikan perhatian khusus.

“Kami sedang menyusun strategi dan telah meneliti di manakah kelemahan dan kelebihan Vietnam berdasarkan rakaman video perlawanan mereka. Pemain-pemain telah diberitahu, dan mereka juga memiliki pengalaman berdepan Vietnam dalam perlawanan persahabatan sebelum ke Piala AFF,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!