4 Disember 2014


Hero filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79 tenat akibat penyakit paru-paru.

Pelakon kacak era 50-an itu dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera, Tuanku Mizan, Wangsa Maju selepas dipindahkan dari Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang pada Selasa malam selepas keadaannya semakin kritikal.

Anaknya, Norazlynna, berkata keadaan bapa yang kini tidak stabil membimbangkan mereka sekeluarga.

"Keadaannya sangat tidak stabil dan doktor mengklasifikasi dia masih kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan 100 peratus.

"Sebelah paru-paru sudah berlubang dan rosak teruk, manakala sebelah lagi kini sudah dijangkiti kuman hanya dalam masa seminggu," katanya.

Sementara itu, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam yang melawatnya berkata, bintang veteran itu dilaporkan tenat dan mengharapkan doa agar keajaiban boleh berlaku.

"Keadaannya sangat kritikal. Melihat keadaannya saya hanya mampu menitiskan air mata dan sangat mengharap keadaannya kembali stabil. Kini dia hanya bergantung dengan alat bantuan pernafasan saja.

"Begitupun saya melihat semangatnya kuat walaupun tidak mampu berkata-kata.

"Saya sangat mengharapkan sahabat handai dan masyarakat untuk terus mendoakan kesihatan beliau.

"Kepada sahabat industri baik yang sehaluan mahupun tidak sehaluan dengannya, datanglah menziarahi," katanya kepada BH dan menganggap Mustapa sebagai bapa filem tempatan.

Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof mula membabitkan diri dalam dunia perfileman bermula awal 1950-an.

Suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah dikenali dengan filem seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!