11 Disember 2014


Tidak wajar untuk mengatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir ke mesyuarat Pakatan Rakyat jika tidak ada sebarang panggilan untuk mesyuarat dibuat, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, sekretariat Pakatan Rakyat perlu memanggil mesyuarat terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada Abdul Hadi akan hadir atau tidak.

"Panggillah meeting dulu baru tahu Ustaz Hadi datang ke tidak.

"Ini meeting belum panggil dah kata Abdul Hadi tak hadir, sebelum-sebelum ini yang dia (Abdul Hadi) hadir tak cakap pulak," katanya selepas sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Dalam sidang media itu, Mahfuz menyanggah kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan tidak ada komunikasi antara Abdul Hadi dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau yakin ketika sesi sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Abdul Hadi berkomunikasi dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

"(Abdul)Hadi hadir ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini dan tentunya ada komunkasi dengan Kit Siang dan Anwar sepanjang sidang berlangsung," katanya lagi.

Mengulas kenyataan Kit Siang sebelum ini yang bimbang Pakatan Rakyat akan berpecah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mahfuz berkata semua pemimpin gabungan tersebut perlu berfikiran terbuka dan positif.

"Semua pemimpin Pakatan Rakyat perlu berfikiran terbuka dan positif jika mahu kekal lebih lama.

"Saya percaya apa yang kita fikirkan itu lah yang akan berlaku, kalau kita fikir Pakatan Rakyat tidak boleh bertahan menjelang PRU14, maka ia tidak akan bertahan.

"Tetapi jika kita yakin bahawa Pakatan Rakyat ini merupakan gabungan yang melangkaui PRU14, ia boleh bertahan lama dan akan menjadi gabungan yang diyakini rakyat," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!