14 Disember 2014


Penganalisis politik Sarawak, Dr Jeniri Amir menasihatkan PAS agar tidak meletakkan calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka akan diadakan pada 2016.

Dr Jeniri berkata berdasarkan keputusan PRN 2011, PAS tidak mendapat sokongan daripada pengundi di bandar mahupun di luar bandar.

Katanya, berdasarkan rekod tersebut, amat sukar untuk PAS mendapat sokongan daripada pengundi kerana pendekatan mereka yang tidak bersesuaian dengan sosio demografi Sarawak.

"Kalau kita melihat pola pengundian ketika pilihan raya negeri pada 2011, PAS ditolak di kawasan bandar dan parti itu juga sukar mendapat undi di kawasan luar bandar iaitu di kawasan yang mana pengundinya merupakan Melayu Melanau.

"Kalau PAS sukar untuk mendapat undi dari Melayu Melanau yang merupakan mereka yang beragama Islam, bagaimana mereka mahu mendapat undi di kawasan pengundi Dayak?

"Orang PAS mungkin tidak dapat menerima apa yang saya katakan ini, tetapi inilah realiti politik di Sarawak yang perlu difahami, PAS tidak relevan di Sarawak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dr Jeniri berkata, pendekatan yang digunakan PAS sukar diterima rakyat Sarawak dan parti itu perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk mendapat tempat di bumi kenyalang.

Jelas beliau, penerimaan rakyat Sarawak dalam isu berkaitan Islam amat berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh PAS.

Faktor itu, jelas beliau, menjadi punca mengapa PAS sukar untuk diterima oleh pengundi-pengundi di Sarawak dalam PRN akan datang.

Katanya, berbanding PAS, dua sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR lebih mudah diterima oleh rakyat Sarawak.

"Kita lihat memang DAP diterima terutama di kawasan bandar dan beberapa kawasan di luar bandar.

"Begitu juga dengan PKR yang mana prestasi mereka jauh lebih baik berbanding PAS dalam pilihan raya negeri yang lalu," katanya lagi.

Justeru beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin PAS supaya menimbangkan dengan sewajarnya sebelum membuat keputusan untuk meletakkan calon dalam PRN akan datang.

Pada PRN Sarawak 2011, PAS bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro. Bagaimanapun parti itu gagal meraih sebarang kerusi.

Berbeza dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat, DAP mendahului dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi, manakala PKR menang di tiga kerusi daripada 49 kerusi yang ditandingi.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!