16 Disember 2014


Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net) mengutuk sekeras-kerasnya aksi kung fu yang dipamer pemain dalam aksi separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja menentang Perlis di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu.

Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, tindakan tersebut bukan sahaja mencalar imej pasukan, malah dalam masa yang sama menimbulkan persepsi negatif penyokong luar terhadap bola sepak di negeri ini.

Katanya, budaya ‘bekeng’ sudah mulai berkurangan dalam kalangan pemain Kelantan dan perkara itu dapat dilihat setiap kali mereka beraksi pada saingan Liga Malaysia.

“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku, sebagai pemain mereka perlu bijak mengawal emosi walau dalam apa jua keadaan.

“Tindakan sebegini boleh memberi impak yang negatif kepada karier mereka dalam bola sepak.

“Bayangkan jika pemain yang terlibat didapati bersalah, mereka menanggung risiko kerana bakal berdepan dengan hukuman dan mungkin boleh digantung.

“Ini satu kerugian yang amat besar kerana kebanyakan pemain yang membarisi pasukan ini adalah bakat-bakat muda.

“Pemain-pemain muda ini sepatutnya menjadikan pasukan The Red Warriors sebagai contoh setiap kali beraksi apabila mereka bijak mengawal emosi walaupun berada dalam situasi tegang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aksi kung fu pemain Kelantan dalam separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja menentang Perlis, yang menyaksikan tuan rumah tewas 0-3.

Utusan Malaysia kelmarin me­laporkan, insiden itu berlaku ketika pemain Perlis sedang berjalan me­nuju ke tempat duduk pasukan tuan rumah untuk bersalaman.

Seorang pemain Kelantan bertindak di luar kawalan dengan menyerang pemain dari negeri u­tara tanah air itu sehingga berlaku pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan.

Dalam kekalutan itu, seorang pemain Kelantan bertindak me­nyerang pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan yang ketika itu berada di tengah padang akibat tidak berpuas hati dengan layangan kad merah.

Kekecohan akhirnya berjaya di­leraikan oleh pasukan keselamatan dan pengawai kedua-dua pasukan.
Mahizi berkata, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pemain yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Jika didapati bersalah mereka perlu dikenakan tindakan yang se­timpal bagi memastikan prestij kejohanan itu terus terpelihara.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!