9 Disember 2014


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan seorang lagi pengebom berani mati rakyat Malaysia telah maut di Syria.

Pengebom berani mati itu adalah Ahmad Affendi Manaff yang berusia 27 tahun.

Najib berkata, individu tersebut yang menganggotai kumpulan militan Negara Islam (IS) berkemungkinan besar merupakan pengebom berani mati kedua dari Malaysia.

“Saya pernah menyebut (dalam Dewan Rakyat) seorang pengebom berani mati dari Malaysia telah menyebabkan 25 anggota askar Syria terbunuh. Saya tak sebut seorang lagi yang berkemungkinan besar rakyat Malaysia tetapi menggunakan nama samaran.

“Pengebom berani mati ini mendatangkan kesan lebih dahsyat iaitu menyebabkan 50 orang terbunuh dalam letupan yang dilakukan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS’ di Parlimen pada bulan lalu, Najib mendedahkan sebanyak 39 rakyat Malaysia terlibat dalam IS di Iraq dan Syria sementara 40 lagi penyokong kumpulan militan itu ditahan di Malaysia.

Dalam perkembangan itu, Ahmad Affendi yang terbunuh dalam serangan berani mati itu difahamkan itu berasal dari Tumpat, Kelantan.

Pemuda yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berlepas ke Syria pada 23 April lalu dan terlibat dengan aktiviti keganasan IS.

Ahmad Affendi yang masih bujang juga difahamkan maut dalam serangan bunuh diri apabila sengaja memandu sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan dan kemudiannya merempuh tentera Bashar al-Assad di bandar Homs.

Dia melakukan tindakan itu pada 8 atau 9 November lalu.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mempunyai beberapa petunjuk yang mengaitkan tragedi itu dengan seorang rakyat Malaysia.

“Berdasarkan risikan yang diperoleh pihak polis, kami mengesakan bahawa Ahmad Affendi terbunuh dalam insiden terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ahmad Affendi merupakan pengebom berani mati kedua selepas Ahmad Tarmimi Maliki, 26, turut maut di dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, keputusan kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 bukan bertujuan mencengkam pembangkang tetapi untuk mengelakkan ketegangan agama dan kaum.
Beliau berkata, demokrasi di Malaysia masih subur dan pembangkang boleh menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan pengaruh mereka.

“Kita tidak boleh melonggarkan peruntukan undang-undang kalau ada lagi anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan tidak hormat agama lain.

“Negara maju seperti Amerika Syarikat gagal menangani isu perkauman sehingga berlaku rusuhan. Kalau situasi sama berlaku di Malaysia, kesannya adalah amat buruk sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, ketenangan di timur Sabah beberapa hari kebelakangan ini tidak bermakna ancaman di kawasan tersebut telah tamat sepenuhnya.

“Saya telah mengambil tindakan untuk kukuhkan kemampuan untuk hadapi keadaan di sana. Walaupun ancaman berlaku di satu sudut sahaja, tetapi bumi Sabah ialah bumi Malaysia dan kita perlu pertahanannya,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!