Banjir buruk yang melanda Pantai Timur turut menjejaskan persiapan skuad bola sepak Kelantan menjelang musim baharu Liga Malaysia apabila sudah lima hari tidak menjalani latihan gara-gara terputus hubungan dengan pemain yang tinggal di luar Kota Bharu.
Bagaimanapun skuad The Red Warriors berharap untuk memulakan latihan hari ini, memandangkan banjir di beberapa kawasan sudah mulai surut, biarpun keadaan di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV yang ditenggelami air memerlukan masa yang lama untuk pulih.
“Pasukan tidak berlatih sejak 25 Disember lalu, jika keadaan mengizinkan kami harap dapat mula berlatih petang esok (hari ini).
“Padang latihan tidak terjejas akibat banjir, cuma beberapa pemain yang tinggal di luar Kota Bharu terputus hubungan tetapi setakat ini air sudah surut,” kata Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.
Menurut Azman, kerosakan yang berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV memerlukan tempoh tiga hingga empat minggu untuk pulih, namun beliau percaya, persiapan pemainnya tidak terlalu terganggu kerana sepak mula Liga Super hanya akan dilakukan pada 7 Februari.
Pahang dan Terengganu pula menarik nafas lega kerana banjir luar biasa yang melanda Pantai Timur tidak menjejaskan persiapan mereka.
Juara Piala Malaysia dan Piala FA, Pahang, lebih memberi tumpuan di gimnasium dan gelanggang futsal akibat cuaca buruk sepanjang Disember.
Menurut jurulatih, Zainal Abidin Hassan, banjir di bandar Kuantan tahun ini juga tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya.
“Memang perancangan kami sedikit terjejas pada awalnya, namun ini bukan kali pertama banjir berlaku.
“Kami telah belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan melakukan perubahan dalam rancangan asal.
“Memandangkan persiapan tertumpu kepada kecergasan, saya membawa pemain ke gimnasium IKIP (Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang) dan gelanggang futsal di Istana Taman Gelora,” katanya.
Pengurus Terengganu, Marzuki Sulong pula berkata, mereka masih mampu menjalani latihan seperti biasa kerana tempat latihan tidak terjejas ekoran banjir.