5 Disember 2014


Kemelut rumah tangga penyanyi dan pelakon, Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 46, dengan isteri, Rozana Misbun, 36, bertambah kusut apabila wanita itu mendakwa, sijil nikah mereka yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam, Pulau Pinang, sembilan tahun lalu merupakan sijil palsu.

Rozana mendakwa, surat perakuan nikah yang dikemukakan Awie sebelum ini tidak terdapat dalam semakan status daftar perkahwinan di pejabat Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di negeri berkenaan.

Selasa lalu, Rozana juga telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Butterworth berhubung sijil nikah yang diragui kesahihannya itu. Keraguan itu didakwa Rozana akan menyukarkan sebarang tuntutannya, terutama berhubung soal penjagaan anak.

Ditemui pada majlis tayangan telefilem Takhta 3 Ratu di Istana Budaya pada Khamis lalu, Awie bagaimanapun tenang menjawab persoalan berhubung dakwaan isterinya yang dinikahi pada 20 Jun 2005 di Songkhla, Thailand itu.

Tiada lain yang diharapkan, Awie yang kini mendapat hak penjagaan tiga anaknya bersama Rozana iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, itu mahu kemelut rumah tangganya segera menemui penyelesaian.

Vokalis Wings yang turut mempunyai dua orang anak lagi menerusi perkahwinan pertamanya bersama penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12, itu juga tidak menolak kemungkinan, andai rumah tangganya dengan Rozana berakhir dengan perceraian.

Kosmo!: Kemelut rumah tangga Awie nampaknya masih berlarutan dan bertambah kusut. Bagaimana anda berdepan dengan tekanan berkenaan?

AWIE: Alhamdulillah, saya okey. Saya mengaku pernah terduduk dan sedih memikirkan dugaan yang berlaku sehingga menolak banyak tawaran kerja. Namun, selepas dipujuk oleh rakan baik saya, Hans Isaac, saya kembali dan kini fokus terhadap kerja untuk menjaga dan membesarkan anak-anak sahaja.

Adakah kemelut rumah tangga yang berlaku mengganggu perjalanan kerjaya anda?

Sejak kisah rumah tangga saya keluar di akhbar, rezeki saya semakin melimpah. Saya bersyukur, Allah masih bersama orang yang jujur dan memberi rezeki kepada saya untuk anak-anak. Saya juga bersyukur peminat tidak menilai kerja seni saya berdasarkan kisah peribadi.

Terbaharu, isteri anda (Rozana) mendakwa, sijil nikah kalian sebagai palsu, adakah semua dakwaan itu benar?

Sebenarnya, saya sudah tahu tentang masalah sijil nikah kami sejak kes kami berjalan di mahkamah. Saya telah merujuk perkara itu kepada pihak yang berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak mahkamah. Tidak mungkin saya buat tidak tahu. Jika sedar yang sijil nikah itu palsu, sedangkan kami telah berkahwin selama sembilan tahun dan mempunyai tiga orang anak, mengapa baru sekarang baru isu itu dibangkitkan semula, adakah mahu memalukan saya?

Selain itu Rozana juga mendakwa, anda tidak membenarkannya melawat anak-anak yang kini berada bawah jagaan anda?

Sudah dinyatakan dalam mahkamah, ibunya dibenarkan melawat sebanyak dua kali sebulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan. Saya tidak pernah menghalang dia (Rozana) berbuat demikian. Bagaimanapun, apabila tiba waktu melawat, dia tidak datang dan tidak pernah menghubungi anak-anak.

Adakah anda pernah berbincang untuk menyelesaikan masalah rumah tangga kalian di luar mahkamah?

Ya, memang saya inginkan masalah itu diselesaikan di luar mahkamah kerana kisah rumah tangga hanya menimbulkan aib bukan sahaja pada saya, bahkan kepada keluarga dan anak-anak. Saya telah memberi cadangan kepada pihak Rozana untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah kerana ia lebih baik untuk kedua-dua pihak, tetapi pihak Rozana menolaknya.

Bagaimana anda melihat masa depan rumah tangga anda bersama Rozana?

Rasanya kami berdua sudah tidak boleh bersama lagi. Selepas kes selesai di mahkamah, saya tidak mahu dia hadir dalam kehidupan saya lagi.

Terima kasih untuk penjelasan. Jadi, sekarang boleh anda bercerita tentang pengalaman memegang watak Hang Tuah dalam telefilem Takhta 3 Ratu?

Bagi saya watak Hang Tuah sangat berat kerana kita semua tidak tahu sama ada Hang Tuah itu sekadar mitos atau wujud. Jadi, saya hanya mengikut arahan daripada pengarah, Erma Fatima dan mengikut interpretasi saya sendiri.

Dalam telefilem Tahkta 3 Ratu terdapat banyak adegan berpelukan bersama Erra Fazira yang memegang watak Lela Wangsa. Tidakkah anda bimbang adegan itu akan menimbulkan kontroversi apabila ditayangkan di Astro First Eksklusif mulai 25 Disember kelak?

Sebenarnya isu peluk itu sudah timbul semasa di set penggambaran lagi. Erra sendiri tidak selesa kerana terlalu banyak adegan berpelukan. Bagaimanapun, setelah diterangkan oleh Erma, Erra dapat menerimanya dengan baik. Saya sendiri tiada sebarang masalah kerana saya hanya berlakon.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!