12 Disember 2014


Anak ternyata menjadi nadi kekuatan Erra Fazira. Erra kini masih diberi kesempatan menjaga anaknya, Engku Aleesya biarpun hak penjagaan secara total menjadi milik bekas suami.

Kalau Lela Wangsa watak yang dipegangnya dalam drama dan teater Takhta 3 Ratu berjuang untuk bangsa, Erra pula berjuang untuk diri sendiri, keluarga dan paling terpenting anaknya.

Erra akur dengan keputusan penjagaan anak berpihak kepada bekas suami.

Namun sebagai ibu yang melahirkan Erra menganggap itu pengorbanan terbesar yang perlu dilakukannya dalam hidup.

"Pengorbanan ini lebih sakit... lebih besar dari mereka yang bergelar ibu dan membesarkan anak di depan mata," katanya.

Cuba mengalih topik anak kepada teman rapat yang pernah diumumkan Erra sebagai mematikan kisah mengaitkan dirinya dengan golongan VIP, Erra enggan mengulas lebih lanjut.

"Cukup, saya tak mahu lagi komen mengenai teman itu," ungkap Erra sambil tersenyum seakan-akan tahu soalan mengenai jejaka itu mahu diajukan kepadanya.

Pernah gagal dua kali dalam perkahwinan, Erra tidak melihat terma kemanisan wujud dalam hidup selepas perpisahan terjadi.

Sebaliknya, hatinya kini sudah terlepas daripada satu tekanan dalaman.

Bagi Erra, tekanan luaran daripada masyarakat atau mereka yang mahu mencari silapnya saja tidak pernah menjadi kudis baginya.

"Kalau diri saya terus tertekan dengan semua itu, bagaimana saya nak menghadap apa saja tekanan luar. Cuma pada awal dulu, saya tak nafikan berat menanggung semuanya hingga nak buat apa-apapun jadi tersekat," katanya.

Musim 2014 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dirumuskan Erra sebagai tahun roller coaster buat dirinya.

Sebaik lafaz cerai diumumkan Februari lalu, penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu dikaitkan dengan si polan itu dan si polan ini.

"Alhamdulillah berkat pengalaman lalu, saya tolak semua ketepi dan fokus kepada kerja. Tumpuan saya kini kepada teater pula.

"Agak panik dan takut juga dengan kesuntukan masa yang ada tetapi insya-Allah saya optimis dengan persembahan teater ini," katanya.

Tiket menonton teater Takhta 3 Ratu yang akan dipentaskan bermula esok hingga 22 Disember ini di Istana Budaya dijual berharga RM50 hingga RM350.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!