16 Disember 2014

Sebahagian warga Indonesia yang ditahan

Kegiatan sekumpulan militan Negara Islam (IS) yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum berlepas ke Syria terbongkar apabila Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman menangkap tujuh individu warga Indonesia di Selangor 2 Disember lalu.

Siasatan mendapati kesemua mereka dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

Seorang daripada individu yang ditahan pada 2 Disember itu dikesan turut mempunyai kaitan dengan bekas anggota Jemaah Islamiah, Umar Patek, pengganas yang paling dikehendaki beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) selain merupakan fasilitator yang bertanggungjawab mengatur pemergian anasir-anasir militan dari Indonesia ke Syria.

Umar Patek merupakan anggota kanan Kumpulan Abu Sayyaf serta anasir Al-Qaeda di Asia Selatan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan operasi di beberapa lokasi di sekitar Selangor sejurus mendapat maklumat risikan tentang individu-individu berkenaan.

“Operasi itu kemudiannya membawa kepada penahanan tujuh warga Indonesia yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita berusia 25 hingga 35 tahun.

“Kesemua mereka disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum berlepas ke Syria,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Khalid berkata, turut ditahan bersama kesemua suspek itu ialah lima orang kanak-kanak dan bayi yang berusia antara lima bulan hingga lima tahun.

“Kesemua mereka adalah daripada tiga keluarga yang berhasrat mahu menyertai pergolakan di Syria,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kejayaan menangkap kesemua anggota pengganas Indonesia itu merupakan jalinan kerjasama yang erat antara PDRM dengan agensi penguat kuasa serta bahagian risikan serantau dan global.

“Ingin saya tegaskan, PDRM sentiasa bertindak tegas dalam menangani isu anggota-anggota militan antarabangsa yang mahu menjadikan negara ini sebagai transit sebelum berlepas ke negara ketiga,” jelasnya.

Khalid memberitahu, kesemua suspek terbabit telah diusir ke Indonesia petang ini selepas kesemuanya ditangkap di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!