8 Januari 2015


Tempoh dua minggu diberikan kepada kesemua lapan bekas kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) untuk memulangkan pampasan RM2.6 juta yang diterima mereka seperti mana diarahkan menerusi surat kelmarin.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya tiada sebarang maklum balas daripada mereka selepas tempoh tersebut maka tindakan lanjut akan diambil oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, MBI juga hanya akan membuat sebarang kenyataan baharu berhubung isu berkenaan selepas tamat tempoh itu yang bermula dari tarikh surat itu dihantar, iaitu kelmarin.

“Saya kira MBI hanya akan buat ulasan setelah tempoh berkenaan tamat kerana kita berlaku adil.

“Kita beri tempoh berkenaan untuk mereka respons dan sekiranya gagal, ada tindakan-tindakan yang telah pun diputuskan oleh pengurusan MBI,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin men­yifatkan kerajaan negeri telah melam­paui batas yang luar biasa dalam isu pembayaran pampasan kepada lapan bekas kakitangan MBI termasuk dirinya.

Faekah mendakwa, laporan audit yang kononnya menjadi asas tuntutan balik pampasan tersebut adalah cacat dan tidak dilakukan secara profesional mengikut tatacara pengauditan yang betul serta berniat jahat.

Mohamed Azmin menjelaskan, laporan audit berhubung pemberian pampasan itu tidak bermasalah kerana dilakukan oleh badan bebas iaitu Jabatan Audit negeri.

“Saya juga yakin pasukan audit yang menjalankan siasatan telah mengambil semua langkah untuk memastikan ada ketelusan dalam menyiasat kes ini,” ujarnya.

Mohamed Azmin dalam pada itu turut mempertahankan tindakan tersebut dan menyatakan pengurusan baharu MBI telah meneliti semua dokumen yang ada sebelum membuat keputusan.

“MBI telah pun meneliti semua dokumentasi yang ada sebelum mengambil tindakan seperti yang dibuat dan kami tidak boleh berkompromi serta mahu mereka memulangkannya kerana ini adalah cara yang cukup diplomatik,” jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!