3 Januari 2015


Tirai tahun 2014 melabuhkan tirainya pada 31 Disember lalu dihangatkan dengan gosip terbaharu artis wanita paling kontroversi, Hanez Suraya yang didakwa akan melangsungkan pertunangan dengan bekas kekasihnya, Romie Razin Adilha, 34.

Dalam laporan sebuah portal cari­an, Hanez, 30, didakwa akan melangsungkan majlis pertunangannya pada Sabtu, 3 Januari (hari ini) di kediaman keluarga Hanez di Seremban, Negeri Sembilan.

Berita tersebut juga mendakwa bahawa selama ini kisah tentang perpisahan antara Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz dengan bekas kekasihnya itu hanyalah rekaan semata-mata demi mahu mengaburi mata semua pihak.

Dakwa laporan itu lagi, gosip tentang hubungan baharu Hanez bersama seorang juruterbang yang tersebar meluas baru-baru ini juga, sekadar penipuan semata-mata.

Kosmo! menghubungi Hanez bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai gosip tersebut.

Kosmo!: Nama Ha­nez tiba-tiba dikaitkan kembali dengan Romie, malah kalian didakwa akan melangsungkan pertunangan pada 3 Ja­nuari (hari ini). Komen?

Hanez Suraya: (Terdiam seketika.) Dari mana awak dapat berita itu? Kalau melibatkan hal peribadi seperti ini, saya tidak mahu beri apa--apa kenyataan. Kalau boleh, saya tidak mahu beri sebarang kenyataan pun mengenai benda-benda remeh seperti itu sebab melibatkan hal peribadi.

Kalau awak tanya saya, jawapannya mudah saja. Saya mahu kunci mulut dan tidak akan bercakap walau satu patah perkataan pun mengenai hal itu.

Bukan saya tidak mahu melayan soalan daripada rakan media, tetapi bagi saya, sudah tiba masanya untuk saya tidak lagi berbicara secara terbuka mengenai perkara peribadi.

Adakah sebab utama anda enggan mengulas tentang laporan itu memberi maksud bahawa khabar angin tentang pertunang­an anda itu adalah benar?

Tiada komen. Maaf. Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang perkara (pertunangan) itu.

Kenapa anda mengambil pendekatan untuk tidak memberikan jawapan yang tepat mengenai gosip itu? Jika benar sekali pun, apa salahnya mengiyakannya saja.

Bukannya apa, sekarang saya sudah tidak berani mahu bercakap benda-benda bersifat peribadi seperti ini.

Pengalaman lepas sudah banyak me­ngajar saya agar tidak terlalu terbuka untuk berkongsi kisah peribadi de­ngan orang ramai.

Saya tahu, saya pernah buat buat silap. Akibat sikap terlalu terbuka yang saya pernah lakukan dahulu, dalam tidak sedar, ada pihak yang salah anggap.

Dahulu saya tersilap langkah dalam mengatur perjalanan hidup saya. Sikap sebegitu telah mengguris hati banyak pihak.

Sebab itulah, saya mahu jadikan pengalaman lepas sebagai pengajaran. Saya lebih bersikap mengunci mulut dalam memberikan jawapan berhubung soalan yang berkait dengan privasi.

Lebih baik saya diam. Itu untuk kebaikan perjalanan karier dan nama baik saya juga. Saya harap dengan kedatangan tahun baharu ini, semuanya akan beransur pulih.

Saya tidak mahu lagi mengingati perkara yang membuatkan saya pernah tersadung dahulu. Tahun 2014 benar-benar membuatkan saya berada dalam fasa kegelapan.

Jadi, saya tidak mahu tahun baha­ru 2015 ini menggelapkan lagi apa yang sudah kelam sebelum ini. Sungguh saya tidak mahu lagi perkara se­perti itu berlaku.

Adakah dengan bersikap me­ngunci mulut akan dapat menepis semua dakwaan gosip seperti itu?

Kalau betul saya mahu berkahwin, saya akan kongsi dengan semua orang. Saya tidak akan sorok perkara baik seperti itu. Kalau setakat gosip-gosip liar seumpama ini, seperti apa yang dikatakan tadi, saya pilih untuk kunci mulut.

Tahun ini, saya sudah pun berumur 30 tahun. Saya sudah cukup matang untuk memikirkan mana yang baik dan mana yang buruk.

Sekarang sudah tidak boleh main-main seperti dahulu. Saya pilih jalan begini sebab saya fikirkan kesannya kepada diri sendiri. Semua gosip ini sebenarnya jika dilayan nanti, bukan hanya akan mengganggu saya, malah orang terdekat seperti keluarga.

Untuk semua, kalau boleh, saya minta janganlah terlalu mendesak saya mengenai hal peribadi. Saya sudah banyak terkesan dengan perkara yang lepas. Jadi, biarkanlah saya begini. Kalau ada berita baik, saya akan kongsikan nanti.

Selepas tidak lama berlakon, bagaimana dengan permulaan tahun baharu anda? Ada apa-apa perkembangan positif yang mahu dikongsikan?

Alhamdulillah, sekarang saya sudah kembali mendapat tawaran berlakon. Semuanya sudah beransur pulih seperti sediakala.

Walaupun alirannya perlahan, tetapi saya tidak kisah, asalkan rezeki saya kembali terbuka. Namun, saya tidak mahu membuat hebahan tentang tawaran lakonan yang datang kepada saya. Biarlah dahulu.

Apa yang boleh saya kongsikan, jika tiada aral melintang, saya akan mula terlibat dengan penggambaran sebuah drama pada penghujung bulan ini, Insya-Allah.

Perkembangan lain, Alhamdulillah orang masih mahu mengambil saya sebagai duta produk di pasaran. Tidak lama lagi, saya bakal muncul sebagai duta produk, jenama apa, biaralah rahsia dulu, sebab perkara ini masih belum rasmi. Tunggulah nanti, saya akan umumkan apabila tiba waktunya.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!