26 Januari 2015


GEORGETOWN - Pemuda Umno Pulau Pinang mempersoalkan caj 90 sen yang dikenakan melalui bil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Ketua Pergerakannya, Rafizal Abd Rahim berkata, caj tersebut tidak sepatutnya dibayar pengguna khususnya penduduk di sini.

“Jika benar pihak Pos Malaysia mengenakan caj sebanyak 90 sen, ia perlu diserap oleh PBAPP memandangkan Pos Malaysia telah mempermudah PBAPP mendapat bayaran mereka.

“Seharusnya beban caj ini tidak dipindahkan kepada orang Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, Pemuda Umno juga keliru dan tertanya-tanya kenapa caj 90 sen itu hanya berlaku di Pulau Pinang.

Tegasnya, jika caj tersebut atas keputusan Pos Malaysia, kenapa ia tidak dilaksanakan di seluruh negara.

“Kami gesa caj ini dibatalkan segera dan beban caj ditanggung sepenuhnya oleh PBAPP.

“Ia memandangkan sebelum ini PBAPP telah menaikkan surcaj air sebanyak 100 peratus tahun lalu dan juga masih menunggu keputusan kenaikan tarif air di negeri ini,” katanya.

Sinar Harian 22 Januari lalu melaporkan kekeliruan orang ramai berkaitan caj yang dikenakan PBAPP melalui bil air. 

Pada bil berkenaan, mereka memaklumkan bermula 1 Januari tahun ini caj sebanyak 90 sen akan dikenakan apabila bayaran bil air dibuat melalui Pos Malaysia atau Pos Mini.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat PBAPP, K Jeyabalan berkata, caj tersebut bukan dikeluarkan PBAPP secara terus kepada pengguna.
"Ia caj yang perlu dibayar kepada pejabat pos," katanya.

Bermula tahun ini, PBAPP dimaklumkan pejabat pos sudah menukar dasar lain dan mereka mengenakan caj sebanyak 90 sen kepada PBAPP sekiranya bayaran bil dibuat melalui mereka.

Disebabkan itulah caj tersebut dikenakan kepada pengguna mulai Januari tahun ini dan ia akan dimasukkan ke bil pengguna untuk bulan seterusnya.

Bagaimanapun caj berkenaan tidak dikenakan kepada pengguna yang membayar secara terus di kaunter-kaunter PBA yang telah pun tertera pada bahagian belakang bil.

Untuk mengelakkan dari dikenakan caj, orang ramai boleh membuat pembayaran di kaunter antaranya di Komtar, Bayan Baru, Balik Pulau, Kepala Batas, Taman Selat ataupun Bukit Mertajam.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!