21 Januari 2015


SEKILAS pandang, cendol yang dihasilkan Mejar (B) Daud Othman, 60, tidak banyak bezanya dengan produk-produk yang berada di pasaran ketika ini.

Selain kisaran air batu, mangkuk cendol yang dihidangkan kepada para pelanggan turut diisi dengan kacang merah, gula dan santan kelapa.

Bagaimanapun, cendol yang diusahakan penduduk Kampung Jiboi Baru, Seremban, Negeri Sembilan itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Cendol Songkok Tinggi yang sangat popular dalam kalangan penduduk sekitar itu mempunyai rasa yang cukup enak dan selamat untuk dimakan kerana teksturnya 100 peratus bahan organik.

Daud memberitahu, beliau tidak menggunakan campuran bahan pewarna atau perasa tiruan untuk menghasilkan cendol tersebut.

“Saya tidak mempunyai pengalaman khusus untuk membuat cendol. Saya hanya menggunakan konsep trial and error dan saya memperoleh formula itu selepas lima kali mencuba.

“Formula itulah yang saya gunakan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, usaha saya berbaloi dan produk yang saya komersialkan dengan nama Cendol Songkok Tinggi ini sudah diterima ramai.

“Tidak ada rahsia dalam penghasilan cendol ini. Saya menggunakan tekstur yang sama dengan pengusaha-pengusaha yang lain,” kata Daud ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Daud berkata, beliau tidak berhasrat untuk membuka kedai kerana konsep perniagaan yang digunakan adalah menyediakan perkhidmatan cendol secara tempahan seperti majlis-majlis perkahwinan, jamuan makan, sambutan Hari Raya, majlis tahlil dan doa.

Daun pandan yang telah dibasuh akan dikisar untuk mendapatkan jusnya.

Namun, beliau memberikan penekanan kepada tiga strategi untuk memajukan perniagaannya iaitu mengekalkan keaslian dan keenakan hidangan, mempopularkan tanda perniagaan (trademark) serta menjadikan ia sebagai satu perusahaan komuniti.

Paten bekalan cendol yang dihidangkan adalah cendol kacang merah (red kidney beans) bersaiz besar manakala isi cendol hijau dibuat tanpa menggunakan pewarna tiruan.

Proses pembuatan cendol hijau menggunakan bahan organik sepenuhnya iaitu daripada jus daun pandan serani (pewarna) dan pandan wangi (bau) yang diadun dengan empat jenis tepung iaitu tepung beras, gandung, ubi dan jagung.

Selain itu, beliau juga menggunakan air bertapis (filtered) dalam proses pembuatan cendol itu manakala air gula berasaskan kepada gula enau dengan campuran gula merah, gula Melaka dan gula tebu.

Selain ais blok yang dikisar halus, santan kelapa memainkan peranan penting bagi menghasilkan rasa yang enak dan istimewa.

“Saya menggunakan santan yang terpilih iaitu kelapa yang tidak terlalu tua dan muda.

“Selain menanam sendiri pokok pandan serani dan pandan wangi, bahan-bahan lain saya peroleh menerusi penduduk kampung,” katanya.

Bagaimanapun, petugas-petugas yang menjaga stesen di setiap majlis yang disertai perlu tampil dengan imej yang telah ditetapkan iaitu segak memakai baju Melayu atau berbaju kemeja petak, tag nama dan bersongkok tinggi.

“Bagi memperkenalkan sesuatu produk yang baharu, kita perlu ada identiti tersendiri. Saya merupakan anak kelahiran Johor. Jadi, saya memilih songkok tinggi sebagai trademark kami,” kata Daud.

Menceritakan semula detik tercetusnya perusahaan Cendol Songkok Tinggi, isteri Daud iaitu Ashidah Asnan, 60, memberitahu, pada mulanya mereka hanya memberikan sumbangan air batu campur (ABC) untuk majlis-majlis di surau dan masjid sekitar kampung tersebut.

Bagaimanapun, atas permintaan tinggi orang-orang kampung, pasangan tersebut mula mencari formula untuk menghasilkan cendol.

“ABC susah untuk disediakan kerana banyak ramuan yang diperlukan. Tambahan pula, rata-rata penduduk kampung ini sudah berusia. Mereka mengadu susah untuk makan ABC. Jadi, mereka beri cadangan supaya kami membuat cendol.


Empat jenis tepung diadun dengan jus daun pandan untuk dijadikan cendol.

“Kami berusaha mencari formula dan selepas beberapa kali mencuba, kami berjaya memperolehnya. Kami sumbangkan cendol itu ke surau dan masjid berhampiran.

“Alhamdulillah. Resipi kami diterima ramai dan penduduk kampung mencadangkan supaya kami membuka perniagaan menjual cendol.

“Pada mulanya, perniagaan kami hanya di sekitar kampung ini tetapi keenakan cendol itu tersebar dari mulut ke mulut dan dengan begitu pantas merebak ke kawasan sekitar,” kata bekas pensyarah Institut Perguruan Raja Melewar itu.

Ashidah memberitahu, perniagaan yang pada awalnya dilakukan secara kecil-kecilan itu semakin berkembang dan menerima permintaan yang tinggi terutama untuk majlis-majlis perkahwinan.

Sejak dikomersialkan pada awal Februari 2010, statistik Cendol Songkok Tinggi menunjukkan peningkatan iaitu 90 tempahan (2010), 201 tempahan (2011), 637 tempahan (2012), 817 tempahan (2013) dan 757 tempahan (sehingga Oktober 2014).

Sementara itu, Daud berkata, bagi menampung permintaan yang tinggi, beliau meningkatkan keupayaan pengeluaran menerusi pendekatan manual kepada penggunaan mesin sepenuhnya.

Daun pandan yang telah dibasuh akan dikisar untuk mendapatkan jusnya. Adunan tepung dan jus pandan kemudiannya dimasak sebelum dimasukkan ke dalam mesin memproses cendol.

“Kini, saya sudah menggunakan mesin sepenuhnya untuk menghasilkan cendol. Mesin-mesin ini saya tempah menggunakan idea sendiri dari Tangkak, Johor.

“Dua mesin adunan dan satu mesin cendol yang saya miliki ini mampu menghasilkan 500 hingga 1,000 kilogram (kg) seminggu. Berdasarkan sukatan, 3kg cendol cukup untuk hidangan 100 orang yang menggunakan mangkuk bersaiz sederhana.

Tepung yang telah dimasak akan dimasukkan ke dalam mesin untuk menghasilkan cendol.

“Kadang-kadang kami menerima tempahan sekitar 700 hingga 1,000 mangkuk cendol dalam sesuatu majlis.

“Kekangan terutama dalam aspek jumlah produk, tenaga kerja dan pengangkutan menyebabkan saya hanya menerima 12 tempahan dalam tempoh satu hari. Jika tempahan melebihi jumlah itu, saya terpaksa menolaknya,” kata anak kelahiran Johor itu.

Daud memberitahu, seorang pelanggan lelaki pernah menghabiskan sebanyak 13 mangkuk manakala seorang pelanggan wanita sebanyak 10 mangkuk dalam satu majlis dan ia merupakan rekod tertinggi setakat ini.

Salah seorang pembantu Daud iaitu Shaharudin Juri, 63, berkata, selain mengekalkan keenakan cendol, kemahiran petugas-petugas juga penting dalam sesuatu majlis.

“Disiplin perlu bermula daripada peringkat pemprosesan, penghantaran dan servis di stesen-stesen kerana kami perlu menjaga tanda perniagaan atau imej kami.

“Kami menekankan aspek disiplin. Petugas-petugas perlu memakai uniform iaitu baju Melayu, bersamping, kasut, tag nama dan yang paling penting songkok tinggi setiap kali menjaga stesen. Ini ialah trademark kami.

“Sebagai petugas yang lebih berusia, saya perlu mengingatkan petugas-petugas yang lebih muda supaya menjaga disiplin. Jika perlu, kami akan mendenda mereka yang melanggar peraturan,” kata Shaharudin.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!