9 Januari 2015


Isteri rocker ternama Awie, Rozana Misbun menempelak suaminya dengan memberi peringatan jangan terlalu gemar membuka aib dan memfitnahnya kerana bimbang hal itu akan kembali terpalit pada dirinya sendiri.

Kepada Awie, 47, Rozana, 37, berpesan, tiada apa yang mahu diselindungkannya kerana wanita itu yakin dia berada di pihak yang benar.

“Allah itu ada. Jangan dia (Awie) suka aibkan orang kerana saya bimbang apa yang dia tuduh akan kembali terpalit padanya. Isu curang tak timbul. Biar Allah sahaja yang tahu siapa sebenarnya yang curang,” tegas Rozana kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Rumah tangga Awie dan Rozana terus mendapat perhatian apabila sijil pernikahan pasa­ngan berkenaan tidak didaftarkan secara sah kerana surat nikah yang didaftarkan di Pulau Pinang didapati palsu.

Nombor siri surat nikah pasa­ngan itu dilaporkan turut digunakan pasangan lain.

Semalam, Awie pula dalam kenyataannya kepada media mendakwa, Rozana yang dinikahinya di Thailand sembilan tahun dahulu pernah menghilangkan diri selama beberapa minggu dipercayai mengikut lelaki lain selepas beberapa bulan mereka berkahwin.

Kata Rozana, sepanjang pernikahan, dia sentiasa mendampingi suaminya itu termasuk menguruskan rumah tangga memandangkan dua anak Awie hasil perkahwinan terdahulu dengan penyanyi Arni Nazira turut dipeliharanya.

Sehubungan itu, Rozana menyatakan rasa hairan kenapa Awie bertindak mereka-reka cerita yang tiada asas sedangkan isu surat nikah palsu yang berbangkit baru-baru ini tidak pula diambil berat oleh suaminya itu.

“Pada awalnya saya takut untuk mendaftar perkahwinan kami secara sah kerana kami kahwin lari. Tetapi lepas setahun kahwin, kami siap bersanding dan keluarga saya juga datang masa bersanding di Port Dickson. Apa masalahnya kalau lepas bersanding itu pergi daftar pernikahan? Cuma apabila isu sijil nikah ini berbangkit, dia berdolak-dalik dan menuduh saya curang pula serta cuba mengaibkan anak.

“Sebenarnya dia (Awie) yang nak cara mudah. Lepas itu nak salahkah saya pula. Tak apa saya reda... dah macam-macam aib saya dia canangkan. Saya sekadar mengucapkan Alhamdulillah sahaja,” jelas Rozana lagi.

Rozana turut memberitahu, kenyataan balas yang diberikannya ini bukan untuk menegakkan benang yang basah, sebaliknya, dia sekadar ingin menuntut dan mempertahankan haknya sebagai wanita selain memikirkan soal masa depan anak-anak mereka.

Hasil perkahwinan Awie dan Rozana, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Putra Ahmad Merrah, 8; Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5,

Sebelum ini, menerusi perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira, Awie mempunyai dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!