16 Januari 2015


MULA-MULA bertiga, kemudian tinggal berdua. Selepas pengunduran pelawak, Ilyas Buang akibat masalah kesihatan pada Disember lalu baru-baru ini kumpulan Sepahtu ‘kehilangan’ seorang lagi anggota apabila Jep pula tiba-tiba ditimpa musibah.

Akibatnya, Shuib terpaksa beraksi secara solo pada persaingan di minggu kesembilan dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014).

Ketiadaan Jep mengundang pertanyaan ramai kerana pada mulanya Shuib hanya berkongsi khabar bahawa rakan duonya, Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 30, tidak dapat beraksi bersama-samanya kerana mengalami masalah kesihatan.

Dalam laman Instagramnya, Shuib, 31, juga memuat naik sekeping gambarnya yang berdiri di atas pentas MLM2014 dengan kapsyen yang mendoakan teman seperjuangannya itu supaya cepat sembuh daripada penyakit yang dihidapi.

Kosmo! akhirnya berjaya menghubungi Jep yang kini disahkan menghidap demam denggi bagi mendapatkan status kesihatan dan perkembangannya untuk beraksi di pentas MLM pada malam ini.

Kosmo!: Ketika persembahan minggu kesembilan MLM2014 minggu lepas, kumpulan Sepahtu hanya diwakili Shuib melakukan persembahan kerana khabarnya Jep mengalami masalah kesihatan. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut?

JEP: Ya, pada malam itu saya tidak dapat bersama dengan Shuib melakukan persembahan kerana saya dijangkiti demam denggi.

Saya tidak tahu bagaimana mahu menyebut nama penyakit itu secara saintifik tetapi menurut doktor yang merawat saya, memang saya diserang demam denggi.

Ketika saya disahkan demam, seboleh-bolehnya saya mahu juga naik ke pentas MLM. Saya juga ada bercakap dengan Shuib, jika dia mahu saya beraksi pada malam tersebut, saya tidak kisah. Saya akan lakukan apa yang termampu walaupun hanya untuk lima minit.

Saya pun tidak tahu sama ada mampu membuat persembahan atau tidak tetapi saya cuba. Saya tidak mahu membiarkan Shuib keseorangan pada malam itu.

Namun, Shuib menolak. Dia katakan kepada saya, dia boleh lakukan sendirian. Mungkin dia rasa kasihan melihatkan keadaan saya pada ketika itu memandangkan dia antara yang turut menghantar saya ke hospital.

Bagaimana anda mengetahui dijangkiti demam denggi?

Sebenarnya, sebelum saya disahkan terkena jangkitan denggi, saya sudah pun mengalami demam selama empat hari. Mula-mula saya hanya fikir, itu cuma demam biasa dan buat tidak kisah sahaja.

Saya cuma makan ubat macam biasa dan tidak pergi mendapatkan pemeriksaan di hospital. Tetapi, ada rakan menasihatkan agar saya membuat pemeriksaan doktor kerana suhu badan pada waktu itu mencecah hingga 40.1 darjah Celsius.

Ternyata telahan itu benar apabila saya memang disahkan menghidap demam denggi.

Selepas menjalani pemeriksaan darah dan sebagainya, saya ambil cuti selama 10 hari dan berehat di kampung.

Bagaimana dengan keadaan kesihatan anda sekarang? Adakah sudah pulih sepenuhnya?

Alhamdulillah suhu badan saya sudah kembali normal. Apa yang saya boleh katakan, saya masih belum cergas seperti biasa tetapi saya sudah boleh mula bekerja sekarang. Cuma mungkin belum pulih sepenuhnya. Sekarang, saya mudah berasa penat.

Jadi, adakah anda akan kembali beraksi pada pentas MLM pada malam ini?

Insya-Allah. Kalau diikutkan hati, memang saya mahu beraksi pada malam ini. Lagi pun, ramai peminat tertanya-tanya sama ada saya akan muncul atau tidak. Sebolehnya saya tidak mahu menghampakan mereka.

Namun, buat masa sekarang saya tidak boleh beritahu kata putus. Semuanya bergantung kepada keadaan diri saya. Kalau lihat keadaan badan saya sekarang, memang sudah boleh bekerja tetapi seperti apa yang saya katakan tadi, badan cepat letih. Mungkin antibodi saya masih belum kuat.

Semua ini kuasa Allah. Mungkin saya memerlukan sedikit masa lagi untuk kembali sihat macam biasa. Perkara melibatkan kesihatan dan saya tidak berani untuk menjanjikan apa-apa. Tengoklah macam mana nanti.

Bagaimana pula dengan persiapan kumpulan Sepahtu menjelang persembahan pada malam ini?

Buat masa sekarang (Khamis), kami masih belum ada pengisian dan idea untuk difikirkan bagi persembahan malam ini. Memang saya dan Shuib ada berjumpa untuk berbincang soal persembahan tetapi saya tidak boleh bercakap lama.

Kepala cepat penat dan tidak boleh banyak berfikir. Sudahnya, kami masih belum ada sebarang idea.

Mencari idea untuk menghiburkan orang bukanlah perkara yang mudah. Walaupun lawak yang dipersembahkan itu selama beberapa minit tetapi persediaan mengambil masa berminggu-minggu. Dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan begini, kerja mencari idea agak terganggu.

Saya harap semuanya akan berjalan lancar. Perkara seperti ini juga sudah pernah berlaku dalam kumpulan kami. Semoga, Sepahtu masih ada sesuatu untuk dipersembahkan kepada peminat.

Selain MLM2014, apakah perkembangan terkini anda?

Tiada. Saya hanya fokus kepada satu kerja iaitu MLM2014. Saya jenis yang tidak suka melakukan banyak kerja dalam satu masa. Buat masa sekarang, saya juga tidak terlibat dengan mana-mana produksi drama.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!