29 Januari 2015


Jose Mourinho melancarkan serangan ke atas pengulas sukan Jamie Redknapp selepas skuadnya Chelsea mara ke perlawanan akhir Piala Liga hasil kemenangan 1-0 ke atas Liverpool dalam separuh akhir kedua semalam.

Jaringan menerusi tandukan pada masa tambahan oleh Branislav Ivanovic membolehkan Chelsea menang dengan agregat 2-1 dalam pertemuan yang berlangsung sengit di Stamford Bridge, tetapi penyerang tuan rumah Diego Costa yang menjadi tumpuan selepas perlawanan.

Pemain antarabangsa Sepanyol kelahiran Brazil itu kelihatan dua kali memijak pemain lawan - Emre Can pada separuh masa pertama, Martin Skrtel pada babak kedua - dan kini berdepan dengan kemungkinan dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak England.

Mourinho nyata berang terhadap Redknapp, selepas bekas pemain tengah Liverpool itu mendakwa Costa patut dibuang padang kerana memijak pemain pertahanan Reds, Emre Can.

Bos Liverpool, Brendan Rodgers turut berasa amat marah terhadap perbuatan Costa, yang boleh digantung permainan dan tidak boleh beraksi menentang Manchester City jika Persatuan Bola Sepak (FA) England memutuskan untuk mengambil tindakan.

Namun, Mourinho telah menyelar Redknapp, selepas dia mendengar ulasan yang disiarkan oleh Sky yang membuat liputan kejayaan Chelsea melangkah ke Wembley.

“Saya tidak tahu apa yang anda faham dengan memijak. Mungkin anda dipengaruhi oleh kempen stesen televisyen yang mana sesetengah pengulas berkata Costa telah melakukan jenayah, mereka yang melemparkan tuduhan tersebut pasti sudah gila.

“Sky anggap tindakan Costa itu sebagai satu perbuatan jenayah. Saya perlu katakan di sini dia mengejar bola, lawan terjatuh dan dia terpijak kerana dia melihat ke arah bola. Kempen yang cukup hebat,” kata bos Blues itu.

Daripada kenyataan Mourinho itu, pengulas yang dimaksudkannya adalah Redknapp, tetapi enggan menamakan individu yang dituduh kepada umum.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!