PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil langkah drastik sebagai menyahut kehendak para penyokong skuad Gergasi Merah itu, sekali gus mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.
Presiden FAS, Mohamed Azmin Ali (gambar) semalam membuat keputusan merombak barisan kepimpinan Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan FAS yang menyaksikan beliau sendiri dilantik sebagai pengerusi dalam jawatankuasa awatan berkenaan.
Sebelum ini, jawatan tersebut disandang Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad.
Jelas Menteri Besar Selangor itu, beliau kini benar-benar serius untuk memulihkan kegemilangan bola sepak Selangor yang suatu ketika dahulu dianggap pasukan gergasi dalam saingan Liga Malaysia.
“Ini mesyuarat FAS yang pertama yang saya pengerusikan. Pada mesyuarat ini, kami telah melakukan satu rombakan mengikut statut FAS di bawah Artikel 45.
“Langkah yang kami ambil ini adalah maklum balas yang saya terima daripada para penyokong yang menuntut supaya diadakan satu rombakan demi kebaikan bola sepak Selangor.
“Saya juga telah mendengar keluhan mereka (penyokong) dan hari ini (semalam), saya mengambil keputusan untuk membuat penyusunan semula barisan ahli majlis yang akan mengetuai setiap jawatankuasa.
“Sebahagian daripada mereka terdiri daripada anggota baharu yang saya fikirkan boleh memberikan pandangan dan idea baharu untuk bola sepak Selangor. Kita juga membuat keputusan bahawa jawatankuasa ini perlu mengadakan pertemuan secara berskala dengan penyokong-penyokong skuad Selangor.
“Kami juga perlu mendengar dan memahami perasaan para penyokong. Kadang-kadang pandangan mereka boleh membantu kami membawa kebaikan kepada bola sepak Selangor.
“Oleh itu, kami mengambil satu langkah berani hari ini (semalam) untuk melakukan perubahan dalam struktur jawatankuasa kecil FAS,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat SUK negeri di Shah Alam semalam.
Begitupun, Azmin menjelaskan bahawa perubahan tersebut hanya melibatkan jawatankuasa pasukan negeri dan pertandingan FAS sahaja, manakala kepimpinan tertingginya tidak berubah.
“Saya tidak boleh menggunakan kuasa saya selaku presiden dengan sewenang-wenangnya kerana setiap perubahan itu terikat dengan perlembagaan. Barisan kepimpinan FAS dipilih dalam Mesyuarat Agung dan kita perlu menghormati keputusan tersebut.
“Namun, kita ada cara lain untuk memajukan bola sepak Selangor dan Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan FAS cukup penting kerana fungsi mereka adalah untuk meneliti pemilihan pemain sama ada pada peringkat pertandingan kebangsaan atau antarabangsa.
“Kalau jawatankuasa itu mantap, saya yakin ia dapat melonjakkan kegemilangan bola sepak negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Azmin yang bakal mengumumnkan pengurus pasukan baharu Selangor esok, juga memberitahu bahawa beliau sedang mempertimbangkan penambahan peruntukan untuk pasukan Selangor bagi menghadapi Liga Super musim ini.
“Saya berpendapat, peruntukan tambahan itu perlu dalam usaha membantu melonjakkan industri bola sepak Selangor tetapi ia mestilah dibuat secara telus dan berhemah kerana dana yang diperoleh itu datang daripada pelbagai pihak.
“Saya akan pastikan pengurusan kewangan dalam FAS mesti telus dan bertanggungjawab kerana saya mahu setiap sen yang kita keluarkan itu memberi manfaat terhadap aspek pembangunan bola sepak di Selangor,” katanya.