29 Januari 2015


Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali melepaskan ge­ram hari ini dengan mencabar Lim Guan Eng bersemuka berikutan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau tidak jujur berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mustafa yang menyifatkan Guan Eng sebagai seorang bermulut celupar menegaskan, Setiausaha Agung DAP itu ada menghubungi­nya berkenaan hasrat parti tersebut untuk melaksanakan pilihan raya PBT namun dibuat selepas beberapa hari cadangan berkaitan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Perkataan yang digunakan oleh Guan Eng itu bukan sahaja tidak tepat malah tidak betul dan menggambarkan beliau seorang manusia mulut celupar.

“Saya cabar dia supaya bersemuka secara terbuka, biar dia bagi versi dia, saya bagi versi saya. Biar masyarakat tentukan siapa betul, siapa salah, siapa bohong, siapa tidak bohong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Yang turut hadir Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Guan Eng dalam sebuah portal propembangkang yang mendakwa beliau telah menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mustafa untuk berbincang tentang pelaksanaan pilihan raya PBT sebelum memulakan kempen undi di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut melahirkan rasa terkejut apabila kedua-dua pemimpin terbabit gagal mengakui perkara tersebut serta menuduh mereka bersikap tidak jujur.

Jelas Mustafa, beliau tidak pernah membincangkan soal pelaksanaan pilihan raya PBT bersama Guan Eng kerana perkara itu tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang.

“Memang saya akui dia meng­hubungi saya, tetapi benda bercakap ikut suka hati ini tidak bagus bagi seorang pemimpin seperti dia.

“Dia (Guan Eng) minta supaya memberikan kenyataan positif, saya hanya menjawab insya-Allah dan tidak membantah kerana perkara itu sudah berlaku dan dibentangkan waktu itu.

“Sebenarnya saya hendak menjaga suasana harmoni dalam kalangan pakatan pembangkang, kerana waktu itu Guan Eng maklumkan dia terpaksa lakukan (pilihan raya PBT) kerana menerima tekanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah masuk dalam janji DAP di Pulau Pinang, maka kita (Guan Eng) terpaksa puaskan mereka (NGO),” ujarnya.

Dalam pada itu, Mustafa yang mengakui hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana turut tidak termaktub dalam rangka kerja dasar bersama pakatan pembangkang memberitahu, Pas tidak boleh memberi persetujuan terhadap pilihan raya itu kerana bercanggah dengan dasar pakatan.

“Saya mendapat tahu berkenaan pembentangan pilihan raya PBT pada sidang DUN Pulau Pinang itu ketika wakil tunggal Pas, Datuk Salleh Man menghubungi saya.

“Ketika itu saya bertanya bila hendak dibentangkan ini, dia berkata mungkin esok (Mei 2012), jadi saya maklumkan perkara itu tidak pernah dirujuk kepada pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

“Maka saya selaku Setiausaha Agung mengarahkannya supaya mengelak daripada menyokong atau menolak usul itu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Pas akan meninggalkan pakatan akibat kemelut berkenaan, Mustafa berkata, isu itu masih belum berbangkit.

“Jangan cepat sangat, niat dalam hati siapa yang tahu,’’ katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!