20 Januari 2015


Kira-kira lima bulan lalu, termeterai ikatan pelakon Datin Eina Azman dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, di Hotel Grand Hyatt.

Majlis pernikahan itu diadakan cukup ringkas dan tetamu yang diundang pada skala kecil.

Lalu, bagi meraikan kenalan, sanak saudara, teman rapat dan rakan media, Eina dan suaminya sekali lagi akan diraikan dalam satu majlis persandingan bertemakan tradisional di sebuah hotel terkemuka di ibu kota 31 Januari ini.

Semalam Eina menyerahkan kad jemputan kepada BH Online. Menurut Eina sepatutnya kad berkenaan diserahkan awal bulan ini tetapi kerana suaminya menghidap demam denggi hampir dua minggu, urusan itu terpaksa ditangguhkan.

"Memang kelam kabut jadinya. Tapi perkara sudah terjadi, apa daya kita nak lawan. Tambah pula saya menguruskan rumah tangga tanpa pembantu rumah, makanya semua kerja rumah kena dilakukan sendiri termasuk memasak.

"Suami saya pun jenis kuat makan dan jenis tak suka makan luar. Jadi hampir kebanyakan waktu kami makan di rumah dan saya akan memasak makanan kegemarannya seperti Masak Lemak Ketam Cili Padi. Apabila selalu memasak, saya pun terjebak makan sekali.

"Mana berat badan saya tak naik hingga lima kilogram. Saya pun banyak menghabiskan masa di rumah dan bersamanya. Suami cakap saya hanya boleh berlakon selepas majlis persandingan hujung bulan ini berakhir," katanya sambil memberitahu suami hanya akan menggunakan khidmat pembantu rumah selepas beliau melahirkan anak.

Eina turut memberitahu gara-gara berat badannya bertambah, ada pula yang menganggap beliau sudah berbadan dua. Hakikatnya semua itu kerana selera makan bertambah apabila tiada aktiviti seni.

"Saya belum ada rezeki untuk mengandung. Sentap juga bila orang sangka saya sudah bersalin sedangkan berat badan naik. Tapi tak mengapa ia umpama doa dan saya serta suami mengharapkan rumah tangga kami akan dikurniakan cahaya mata secepat mungkin," katanya.

Eina memberitahu beliau dan suami juga sudah berbulan madu ke Kepulauan Maldives September tahun lalu selama dua minggu dan diikuti ke Gold Coast, Australia pada November lalu.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!