6 Januari 2015


Orang ramai terutama mangsa banjir dinasihatkan supaya jangan berkongsi barangan peribadi seperti tuala atau pakaian lembap yang sudah digunakan kerana ia membawa risiko besar untuk dijangkiti kudis buta.

Perunding Dermatologi Dr Saadiah Sulaiman berkata, jangkitan kudis buta sebenarnya disebabkan oleh kutu halus yang dipanggil Sarcoptes scabiei (scabiei) dan boleh merebak dan komplikasi boleh menjadi lebih teruk jika tidak dirawat dengan segera.

Katanya, jika dibiarkan kutu halus itu boleh menetaskan telur di kawasan kudis buta berkenaan sebelum menjadi ulat.

“Ulat yang membiak di kawasan kudis buta itu boleh menyebabkan serangan ekzema pada kulit dan kemudian menimbulkan pelbagai jangkitan bakteria lain,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Saadiah, jangkitan kudis buta cenderung berlaku di kawasan yang sesak dan mempunyai ramai orang.

“Hubungan rapat yang terjalin juga memudahkan risiko kudis buta berjangkit terutama dalam kalangan ahli keluarga atau pusat asuhan bagi si kecil,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Farahlydiana Mohd Zaphie yang menderita dijangkiti kudis buta selepas mengharung banjir di kampungnya di Jeram Panjang, Laloh, Kuala Krai.

Kanak-kanak berkenaan terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa hari ketika terperangkap di sebuah bukit selepas perkampungannya dinaiki air.

Farahlydiana hanya dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) Rabu lalu apabila kudis itu semakin melarat di kaki dan tangannya.

Sementara itu, Pakar Kanak-kanak Dr Syed Nazri Syed Kadir pula berkata, pada orang dewasa jangkitan kudis buta boleh berlaku di sekitar celah jari, pergelangan tangan atau kaki, tapak kaki (tengah), kemaluan, lutut dan di kawasan tulang belikat.

Manakala pada kanak-kanak pula, kutu biasanya menyerang di sekitar kulit kepala, muka, leher, tangan dan kaki.

Katanya, apabila diserang kutu scabiei, seseorang itu mengalami kegatalan dan biasanya keinginan untuk menggaru sangat tinggi ketika tidur pada waktu malam.

“Komplikasi biasanya timbul akibat terlalu banyak menggaru sehingga kulit luka,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!