9 Januari 2015


Terlalu ramai orang Islam yang taksub kepada pemimpin yang tidak mengamalkan ajaran al-Quran.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan ini lebih mengutamakan sumber lain dalam ajaran Islam berbanding al-Quran.

"Maka, kita sekarang terbahagi kepada pelbagai mazhab dan masing-masing menuduh orang lain sebagai kurang Islam, kafir, murtad dan sebagainya.

“Malah, kita juga sudah sampai ke tahap berperang dan membunuh sesama Islam. Kerja mereka ialah menjayakan cita-cita musuh Islam, orang Yahudi tidak perlu bunuh orang Islam kerana orang Islam sendiri boleh melakukannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek One Soul One Quran anjuran Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, semalam.

Beliau turut menyeru orang Islam agar kembali kepada ajaran al-Quran sebagai pegangan hidup.

“Kita ingin edarkan al-Quran dan beri penerangan berkenaan ayat tertentu supaya tidak berlaku salah faham. Sebab itu membaca dan memahami isi kandungan al-Quran amat penting.

“Kalau kita lihat sekarang banyak sekolah tahfiz untuk menghafal al-Quran. Tetapi jika kita hafal saja tanpa memahami isi kandungan, kita tak dapat panduan,” katanya.

Beliau berkata, situasi orang bukan Islam yang takut kepada agama Islam juga tidak akan berlaku sekiranya mereka memahami ajaran al-Quran.

“Banyak tafsiran dan ajaran yang tak berasaskan agama Islam. Sebab itu ada orang bukan Islam takut kepada Islam dan membayangkan Islam sebagai agama yang bengis, tidak berperikemanusiaan, tidak adil dan sebagainya.

“Tujuan kita nak kurangkan salah faham itu. Kalau mereka faham mengenai ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran, mereka tidak akan takut kepada agama Islam dan orang Islam,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas serangan terhadap pejabat akhbar tabloid yang pernah menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mengorbankan 12  mangsa di Perancis, kelmarin, beliau berkata, ia merupakan tindak balas kepada provokasi yang dicetuskan terlebih dahulu oleh mereka yang tidak menghormati Islam.

“Mereka tidak hormati agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dan ini satu provokasi. Walaupun orang Islam tidak seharusnya bunuh mereka, tetapi pasti ada orang Islam yang berasa marah.

“Saya tidak menghalalkan perbuatan membunuh tetapi perlu diingati jika kita sengaja provokasi orang lain, reaksi mereka kita tidak boleh jangka. Jadi sebagai masyarakat yang bertamadun, kita kena hormati agama mereka dan mereka kena hormati agama kita,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!