15 Januari 2015


MINGGU lalu kecoh tentang pasangan selebriti, Zizan dan Emma yang telah memutuskan hubungan cinta mereka. Status putus cinta itu dimulakan oleh Emma Maembong sendiri yang bercerita kepada pihak media, selain gigih menulis dalam laman sosialnya.

Tiada lagi rahsia dalam plot cerita cinta mereka. Sah mereka putus, ketika itu. Pengakuan dibuat Emma dan memberitahu antara dia dan Zizan, sudah tidak ada apa-apa pada Rabu lalu dengan bai-bait kata dengan terjemah ringkas, “Lebih baik kebenaran yang melukakan, daripada selesa dalam penipuan.”

Kemudian, Emma memanjangkannya kepada sebuah akhbar pada Khamis lalu dengan memberi kenyataan yang berbunyi: “Betul. Mungkin tak ada jodoh (antara kami) agaknya.”

Malah, sebelum pengakuan dibuat, Emma juga beberapa kali menerusi laman Instagramnya memuat naik petanda menunjukkan keretakan hubungannya bersama Zizan.

Rasa kecewa yang membuak-buak terhadap kekasih hatinya itu tidak lagi mampu disembunyikan, malah kata Emma dia lebih rela putus cinta daripada terus ‘makan hati’.

Tambah parah apabila kelihatan ahli keluarga Emma pula muncul dan menjadikan media sebagai bahan ‘hentaman’ dalam isu ini. Bahasa yang digunakan agak dahsyat juga, dan meletakkan seluruh permasalahan kepada pihak media pula. Kenapa begitu ya?

Lain pula hal yang berlaku kepada Zizan yang nampak lebih matang menyelesaikan isu apabila dia sendiri meminta sedikit ruang untuk mengulas. Seperti pasangan bercinta lain, Zizan menganggap ia sebagai satu dugaan dalam perhubungan.

Kenapa lelaki bernama penuh Mohd. Razizan Abdul Razak ini tidak berani untuk berkata benar tentang kisah cintanya dan hanya mengambil sikap sambil lewa? Apa yang dia tahu, menyerahkan semua kepada teman wanita untuk bersuara? Menguatkan lagi persoalan itu, Zizan memberitahu Utusan Malaysia bahawa punca putusnya cinta bersama Emma adalah kerana sebuah kereta mewah. Katanya, Emma tidak bersetuju kalau dia membeli kereta mewah berkuasa tinggi dan menganggap itu suatu pembaziran. Tindakan Emma itu akhirnya mencetuskan perselisihan faham sehingga mereka putus.

Pengakuan Zizan itu sebenarnya mendapat perhatian dari ramai orang dan Emma terus dihentam kerana tindakannya yang boleh dianggap tidak matang. Namun, semua itu nampaknya belum berakhir kerana peminat kedua-dua artis ini juga ingin tahu model kereta apakah yang menyebabkan pasangan ini sanggup berpisah?

Tanpa disangka, pelakon dan pelawak Tauke Jambu telah memuat naik sekeping foto menerusi akaun Instagramnya bersama Zizan dengan sebuah kereta Ferrari berwarna kuning pada awal Jumaat lalu, sebelum memadamkannya
beberapa jam kemudian.

Menariknya, menerusi kapsyen gambar, Tauke dengan rasa bangga memberitahu bahawa ‘si kuning’ itu adalah ‘teman wanita’ baharu Zizan.

Tetapi benarkah kereta Ferrari kuning itu menyebabkan Zizan putus cinta? Mungkin juga ada benarnya kerana selepas itu, gambar tersebut dipadam oleh Tauke.

Adakah semua itu atas arahan daripada Zizan? Takut membuka pekung sendiri? Jawapannya masih tiada.

Bagaimanapun, dongeng cinta antara Zizan dan Emma belum berkesudahan. Zizan menambahkan lagi isi dalam kemelut itu.

Menerusi akaun Instagramnya dia memuat naik sekeping gambar bersama Emma dengan kapsyen menunjukkan seolah-olah mereka sudah bersama kembali. Cinta yang putus seketika bersambung kembali.

Zizan dilihat seolah-olah memperlekehkan media dengan tindakannya itu. Tak sampai dua hari, cinta mereka bertaut kembali. Biarlah, kita pun suka kalau mereka kembali rapat, barangkali berjodohan selepas ini.

Cuma, menarik juga untuk diulas, ada tanggapan yang mengatakan cerita putus cinta Zizan dan Emma ini semata-mata adalah cerita rekaan. Sebuah cereka yang sengaja diwujudkan untuk menaikkan populariti Zizan dalam program Maharaja Lawak Mega 2014 yang sedang berlangsung. 
Apakah benar ia untuk mengembalikan semula populariti Zizan yang sudah semakin hambar dek kerana persembahan yang kurang idea-idea baharu? Sudah hilangkah populariti Zizan sebenarnya?

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!