3 Januari 2015


RANTAU PANJANG: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan tiada keperluan menubuhkan kerajaan campuran UMNO dan PAS dalam usaha menyelesaikan masalah banjir di Kelantan.

Beliau berkata buat masa kini kerajaan persekutuan memang bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan PAS terutama dalam soal mengerah agensi berkaitan untuk membantu mangsa banjir.

"Saya rasa tak perlu sampai menubuhkan kerajaan campuran sebab itu soal politik. Kita boleh ada penyelarasan biasa ... sebab walaupun PAS ialah kerajaan negeri, apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) datang, Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yaakob) juga ada.

"Ini bukan masa untuk bincang soal perpaduan, sebaliknya untuk sampaikan bantuan (kepada mangsa banjir). Dan bantuan tetap disampaikan dengan kedudukan sedia ada," katanya kepada BERNAMA selepas menyampaikan bantuan bencana banjir kepada masyarakat Siam di Kampung Teresek di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, mengulas satu saranan supaya kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Kelantan pimpinan PAS membentuk kerajaan campuran bagi menyelesaikan masalah banjir yang sekian lama menghantui penduduk di negeri ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Pemuda UMNO juga akan mengambil tindakan proaktif membantu membersihkan kesan banjir terutama runtuhan binaan seperti rumah, sampah-sarap dan lumpur tebal.

Beliau berkata fasa kedua iaitu membersihkan kawasan terjejas adalah sama penting dengan fasa menyelamat serta memberi bantuan berupa bekalan makanan dan keperluan asas seperti tilam dan ubat-ubatan.

"Saya tengok kemusnahan di beberapa tempat seperti Kuala Krai dan Gua Musang lebih kurang sama macam di Aceh (yang dilanda tsunami pada 2004).

"Itulah skala kemusnahan dan saya harap kami dapat terus beri masa untuk kami datang dan bantu dalam usaha bersihkan serta memastikan mangsa banjir dapat pulang ke rumah mereka," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata Pemuda UMNO telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Doctors Club untuk membawa beberapa doktor bagi memberi rawatan kepada mangsa banjir yang tidak sempat pergi ke klinik atau hospital.

Beliau berkata ini bagi memastikan golongan itu mendapat rawatan yang sewajarnya bagi membendung penyakit yang mungkin menyerang susulan bencana banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

"Pemeriksaan ini diperlukan sebab kami tengok ada beberapa tempat banyak kes batuk, demam, yang perlukan rawatan cepat sebab mungkin doktor-doktor di hospital perlu menangani kes lebih serius," jelas Khairy. 
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!