14 Januari 2015


ZURICH – Beberapa jam selepas ha­nya mampu menonton seteru uta­manya, Cristiano Ronaldo merangkul anugerah Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi mencetus spekulasi berhubung masa depannya di Barcelona apabila memberitahu dia tidak pasti ke mana hala tujunya, musim depan.

Kurang 24 jam selepas membuat penafian akan meninggalkan Camp Nou, bintang penyerang Argen­tina berusia 27 tahun itu menimbulkan tanda tanya apabila berkata, Barcelona belum tentu menjadi kelab yang dipilih untuk mengakhiri kariernya.

Ketika ditanya, apakah dia akan menamatkan kariernya di Barcelona, satu-satunya kelab yang pernah diwakili di peringkat senior atau kembali ke Newell’s Old Boys, kelab Argentina yang diwakilinya pada zaman kanak-kanak, Messi berkata: “Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, sama ada kembali ke Newell’s.”

Pemain Terbaik Dunia em­pat kali itu mengakui, dia belum memutuskan mengenai kedudukannya tahun depan, biarpun sebelum ini sering menegaskan mahu menamatkan karier bersama Barcelona.

Reaksi Messi hadir kurang 24 jam selepas dia menganggap segala khabar angin yang mengaitkan dirinya bakal meninggalkan Barca untuk menyertai Chelsea atau Manchester City sebagai bohong.

“Memang saya selalu mengatakan saya mahu menamatkan karier bersama Barcelona dan kemudian Newell.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu ke mana saya akan berada pada tahun depan.

“Seperti yang Cristiano (Ronal­do) katakan baru-baru ini, bola se­pak banyak berpusing dan apa saja boleh berlaku,” kata Messi, yang Ballon d’Or empat tahun berturut-turut dari 2009.

Messi yang membantu Barcelona menewaskan juara La Liga, Atletico Madrid 3-1 pada Ahad lalu turut menafikan khabar angin bahawa dirinya mahu me­ninggalkan kelab kerana tidak sependapat dengan pengurus, Luis Enrique.

“Saya tidak pernah menuntut apa-apa bagi memastikan saya te­rus kekal kerana saya tidak menunjukkan minat untuk meninggalkan kelab ini.

“Saya ada terdengar bahawa khabar angin mengatakan ayah saya ada bercakap dengan Chelsea atau Manchester City.

“Semua itu adalah bohong,” katanya kelmarin.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!