22 Januari 2015


Konflik dalaman pakatan pembangkang semakin parah berikutan tindak-tanduk DAP yang dikatakan membelakangi amalan serta semangat setiakawan terhadap Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam kenyataan yang disiarkan portal rasmi Pas, Harakah Daily semalam, langsung tidak berselindung ketika mengecam keangkuhan pemimpin DAP dan sikap mereka yang tidak konsisten dalam mematuhi polisi bersama pakatan pembangkang.

Menurut beliau, sikap DAP itu terserlah apabila pemimpin parti tersebut berdegil untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

“Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati-matian berkata tidak boleh dilaksanakan.

“Namun, kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama diteruskan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Beliau sebelum ini pernah mengkritik DAP secara terbuka berhubung isu pilihan raya PBT malah, Setiausaha Agung Pas itu dalam wawancara bersama akhbar Sin Chew Daily pada 12 Januari lalu menyatakan, pimpinan DAP sering memburuk-burukkan Pas.

Kecaman itu kemudian dibalas oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menegaskan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud perlu dikritik pihaknya secara terbuka kerana perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dipersetujui majlis pimpin­an pakatan pembangkang.

Sementara itu, Mustafa turut mempersoalkan sikap angkuh kerajaan DAP Pulau Pinang melaksanakan pilihan raya PBT walaupun tidak dipersetujui pimpinan tertinggi pakatan pembangkang serta tiada keputusan dibuat tentang isu berkenaan di peringkat negeri.

“Ini adalah gambaran sikap angkuh yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP apabila mereka beroleh kuasa majoriti di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menambah, keangkuhan DAP juga dapat dilihat melalui kenyataan kepimpinannya di Sarawak yang terlalu yakin dengan kekuatan parti itu sehingga menyebabkan mereka mendabik dada ketika menyatakan DAP tidak memerlukan kerjasama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri tersebut.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!