21 Januari 2015


Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan Notis Merah untuk mencari Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Persekutuan.

Dalam Notis Merah itu, Sirul Azhar, 43, disebut sedang dicari oleh mahkamah di Malaysia untuk dikenakan hukuman atas dakwaan membunuh.

Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya pada 13 Januari lalu, mengeluarkan waran tangkap selepas anggota Unit Tindakan Khas itu gagal hadir ke mahkamah semasa keputusan dibacakan.

Notis Merah Interpol bermaksud individu itu perlu dicari dan ditahan untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Selain itu, notis tersebut turut meletakkan tarikh lahir Sirul Azhar pada 29 Januari 1971 dan warna matanya sebagai hitam.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia memaklumkan akan mendapatkan bantuan Interpol untuk mencari Sirul Azhar yang ke Australia, Oktober tahun lalu, mengikut rekod Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita akan bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia kalau dia berada di sana, tetapi kalau dia dah keluar ke mana-mana destinasi lain, kita akan bekerjasama dengan Interpol,” menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pada 14 Januari lalu.

Media Australia sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara Australia mungkin tidak akan meluluskan permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang Sirul Azhar kerana negara itu tidak mengiktiraf hukuman mati.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!