20 Januari 2015


Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang satu ketika begitu dihormati, kini dikelilingi kontroversi.

Yang terbaru pintu pejabat mereka disimbah dengan cat berwarna merah dan kuning semalam.

Beberapa hari sebelum ini, terdapat banyak pelekat ditampal di papan tanda jalan selain kain pemidang digantung di sekitar Shah Alam dengan tulisan yang menggesa dilakukan rombakan di dalam FAS.

Pada tahun lalu segelintir penyokong tegar Red Giants menyerbu pemain-pemain Selangor sewaktu mereka menjalani sesi latihan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pasukan.

Kejadian terbaharu di pejabat FAS semalam, yang dipercayai dilakukan pada waktu malam seharusnya dianggap sebagai amaran oleh pihak pe­ngurusan FAS untuk meneliti semula apakah yang membuatkan mereka “dibenci’ oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd. Ibrahim kejadian itu telah dilaporkan kepada polis bagi melakukan siasatan lanjut dan pihaknya menyerahkan sepenuh­nya kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Kami terkejut apabila mendapati pintu pagar pejabat FAS disimbah cat, kami menganggap perbuatan itu sudah melampaui garis sempadan. Oleh sebab itu kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini.

“Kami juga memandang kejadian tersebut dengan serius kerana mengganggu ketenteraman dalam FAS. Laporan sudah pun dibuat dan kami menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Apakah semua kejadian itu mempunyai kaitan dengan prestasi hambar Selangor, yang boleh dikatakan seperti kehilangan taring apabila gagal meraih sebarang kejuaraan utama sejak kali terakhir menjulang trofi Liga Super lima tahun lalu.

Malah, kali terakhir mereka menjulang Piala Malaysia adalah sedekad yang lalu ketika menewaskan Perlis 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Hasrat mereka untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 menerusi ‘Misi 33’ pada tahun lalu juga tidak kesampaian sedangkan mereka adalah juara terbanyak.

Tindakan FAS melepaskan penyerang Paulo Rangel, S. Kunanlan, Mohd. Farizal Marlias juga dipertikaikan para pemi­natnya yang berasakan ketiga-tiga pemain itu penting buat Red Giants.

Paulo Rangel merupakan penjaring terbanyak Liga Super pada musim lalu manakala kecekapan serta ketangkasan Farizal dan Kunanlan tidak dapat dinafikan apabila menjadi pilihan utama Dollah Salleh ketika beraksi di final Piala AFF 2014 menentang Thailand.

Rangel mengubah haluannya ke Pantai Timur dengan menyertai Terengganu manakala Farizal serta Kunanlan disambar oleh Johor Darul Ta’zim (JDT). Natijahnya, pengendali Red Giants, Mehmet Durakovic terpaksa bermula dari bawah selepas majoriti skuadnya dibarisi dengan pemain muda.

Persoalannya adakah tindakan “serangan” ke atas pejabat FAS semalam adalah rentetan daripada keputusan-keputusan mereka yang dilihat merugikan skuad Red Giants. Atau, apakah ada pertelingkahan dalaman di dalam persatuan itu?

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!