9 Januari 2015


Pergolakan antara golongan ulama dengan profesional di dalam Pas semakin ketara apabila dua pengarang akhbar lidah parti Pas, Harakah diberhentikan, manakala Ketua Pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman telah diminta meletakkan jawatan ketika sedang cuti sakit.

Tindakan pemberhentian Pengarang Harakah, Tarmizi Md. Jam dipercayai kerana kritikan terhadap kerajaan perpaduan dalam pimpinan Pas manakala pemberhentian Pengarang Rencana Harakah, Roslan Hamid dipercayai mempunyai kaitan dengan penyiaran tulisan artikel seorang kolumnis, Dinsman atau nama penuhnya, Shamsudin Othman yang mengkritik ulama dalam pimpinan Pas.

Selain ruangan artikel Dinsman telah dihentikan, Lembaga Pengarah Harakah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut meminta Ahmad Lufti meletakkan jawatan dengan pihak berkenaan telah pun menyerahkan borang berhenti kerja atas sebab kesihatan kepada Ketua Pengarang Harakah itu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Batu, Ishak Surin berkata, tindakan pemberhentian dua pengarang dan tekanan terhadap Ahmad Lufti itu bukan sahaja tidak munasabah malah disifatkan sebagai tidak beretika, biadab dan merupakan perbuatan zalim.

“Adakah ini merupakan akibat daripada krisis kepemimpinan dan konflik antara dua golongan yang sedang bergolak dalam Pas? Dan mereka yang berkenaan ini menjadi mangsa yang tidak berdosa dan sekali gus menjadi mangsa pentadbiran yang zalim lagi tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ishak yang juga bekas Pengurus Harakah yang pertama, pihaknya berharap pucuk pimpinan Pas menyelesaikan isu tersebut dan mendesak agar Mustafa disingkirkan daripada pengurusan Harakah kerana tindakan zalim yang dikenakan terhadap Ketua Pengarang Harakah dan pengarang-pengarang berkenaan.

“Kami bersedia (untuk menerima sebarang tindakan daripada pucuk pimpinan parti) kerana kami percaya kepada menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran. Kita tegur kerana perkara ini menyalahi tata etika kerja dan keduanya, perkara ini zalim dan bertentangan dengan semangat Islam yang dibawa Pas.

“Kami sebenarnya amat tersentuh kerana Ahmad Lufti baharu lepas dibedah (sakit jantung) dan menghidap kencing manis, patutnya diberi khabar gembira kepada orang sakit tetapi disuruh pula letak jawatan, saya sedih mengenang soal urusan rumahnya, isteri dan anak-anaknya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Dinsman, beliau tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan Harakah mengenai alasan kolumnya dihentikan namun beliau percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan dua artikelnya yang mengkritik ulama dalam Pas.

“Pas selalu mengkritik BN (Barisan Nasional) yang tidak menghormati kebebasan bersuara tetapi mereka sendiri yang buat macam itu, saya berharap Pas kembali kepada kebebasan bersuara dan juga menjaga kebajikan Harakah,” katanya.

Kata Dinsman, beliau menyedari mengenai risiko dalam menulis artikel yang mengkritik golongan ulama dalam Pas namun beliau berpendapat perkara itu perlu disuarakan dan disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Pemangku Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Rozan Azen Mat Rasip berkata, pihaknya merakamkan simpati terhadap warga Harakah yang diberhentikan kerja tanpa mengikut etika kerja yang lazim serta akhlak yang selalu disyarahkan pimpinan Pas.

“Kami mohon penjelasan ulama Pas dalam perkara-perkara tersebut. Sekiranya tindakan mereka itu menyalahi ajaran Islam, kami tuntut mereka memohon maaf dan menerima semula wartawan-wartawan berkenaan untuk bekerja seperti biasa,” katanya yang menjelaskan Paksi merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan erat dengan Pas Kawasan Batu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!