7 Januari 2015


Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) enggan menurunkan kadar tambang bas kerana mendakwa peningkatan kos operasi dan alat gantian kenderaan yang meningkat sehingga 100 peratus.

Sebaliknya Presiden PPPBSM, Amali Munif Rahmat mendakwa, pengusaha-pengusaha bas perlu menaikkan kadar tambang bagi menampung kerugian yang terpaksa ditanggung akibat peningkatan kos operasi sejak 2012.

Jelas beliau, tindakan itu juga wajar memandangkan tambang bas tidak pernah dinaikkan sejak lima tahun lalu walaupun harga bahan bakar khususnya diesel meningkat setiap tahun sehingga mencecah lebih RM2 seliter sebelum kaedah apungan terkawal dilaksanakan kerajaan.

“Harga tambang bas akan tetap naik walaupun kerajaan beri mi­nyak percuma sepanjang bulan ini, kerana kos operasi dan harga alat ganti kenderaan sudah meningkat 100 peratus sejak tujuh tahun lalu dan kita perlu menampung kerugian yang dialami sepanjang tempoh tersebut.

“Kerajaan juga menarik balik subsidi minyak bas sekolah seba­nyak 40 sen seliter iaitu 20 sen pada September 2013 dan selebihnya pada tahun lalu. Kini kita hanya menerima subsidi 4.9 sen seliter. Penarikan subsidi ini menyebabkan kos bahan bakar bertambah mengikut saiz bas digunakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa tentang kenaikan harga tambang bas sekolah walaupun kerajaan mengumumkan harga bahan bakar diturunkan bermula 1 Januari lalu yang melibatkan penurunan sebanyak 35 sen seliter bagi petrol RON95 dan RON97 manakala 30 sen bagi diesel.

Menurut Amali Munif, pihak­nya juga perlu menjaga kebajikan pemandu-pemandu bas sekolah yang menuntut kenaikan gaji ke­rana perkara tersebut tidak dapat ditunaikan atas beberapa alasan sepanjang tempoh kenaikan harga minyak.

Dalam hubungan ini, kata­nya, walaupun harga tambang bas sekolah bergantung kepada pengusaha-pengusaha bas, kadar tersebut masih perlu bergantung kepada kadar yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!