9 Januari 2015


Walaupun isu tunggakan gaji lima bulan pemain Perlis dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) diakhiri dengan baik kelmarin, namun jumlah yang dibayar kepada mereka terus kekal menjadi misteri.

Berdasarkan sumber yang dipercayai, 10 pemain Perlis termasuk tonggak import dari Ivory Coast, Dao Bakary hanya dibayar gaji dua bulan daripada lima bulan yang tertunggak, tidak sampai separuh daripada tuntutan ke­seluruhan.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Izham Ismail tidak kesampaian apabila dia berkata, jumlah itu tidak boleh didedahkan dalam apa jua cara sekali pun.

Tambahnya, semua pemain te­lah bersetuju untuk menutup mulut kepada umum semasa perbincangan tersebut memandangkan mereka semua ada menanda­ta­ngani dokumen kerahsiaan selepas perbincangan berakhir di Wisma FAM, kelmarin.

“Perkara ini (jumlah wang) bukannya satu benda yang boleh di­sebarkan dan tidak boleh dibe­ritahu ekoran pemain bersetuju atas penyelesaian penuh dikemukakan oleh PFA dalam perjumpaan berkenaan.

“Apa yang penting, masalah ini yang berlarutan sekian lama ak­hirnya tamat dan kami semua sebagai pemain profesional kena patuh agar jumlah itu akan kekal rahsia.

“Bagi saya, jumlah adalah perkara kedua dan apa yang menjadi asas dalam perbincangan semalam adalah kedua-dua pihak setuju, jadi saya sebagai orang tengah menganggap ia memudahkan proses penyelesaian,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada pertemuan yang mengamalkan formula kekeluargaan kelmarin, PFA dan 12 pemain Perlis serta PFAM dan FAM yang bertindak sebagai orang tengah mencapai kata sepakat menamatkan isu tunggakan gaji lima bulan.

Bagi mengelak perkara sama berulang, PFAM menggesa pemain agar cepat bertindak mengemukakan laporan jika gaji mereka tidak di­terima dalam tempoh sebulan sekali pun.

Seperti ‘sudah terhantuk, baru tengadah’, Izham berharap kes yang membabitkan pemain Perlis perlu dijadikan pengajaran agar mereka jangan menunggu terlalu lama sehingga menjadikan masalah bertambah rumit.

“Pemain kena ada kesedaran yang tinggi dalam hal ini, jangan tunggu sehingga gaji mereka sudah beberapa bulan tidak dibayar baru mahu ajukan kepada kami.

“Kalau tunggu begitu lama, ia akan menimbulkan banyak masalah,” ujarnya lagi.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!