16 Januari 2015


PERSATUAN Bola Sepak Sabah (Safa) menafikan laporan beberapa beberapa akhbar tempatan yang mendakwa mereka bersedia menebus baki kontrak bekas pengendali skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencecah RM500,000.

Setiausaha Kehormat Safa, Alijus @ Mohd. Ali Sipil (gambar kecil) berkata pihaknya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan jurulatih berusia 44 tahun itu memandangkan beliau masih terikat dengan FAM sehingga Disember tahun ini.

“Kita memang berminat untuk dapatkan khidmat Kim Swee dalam pasukan Sabah namun kita perlu menghormati kontrak beliau dengan FAM.

“Kita tidak mahu membelakangkan FAM kerana kita merupakan ahli gabungan mereka. Sekiranya beliau sudah dibebaskan oleh FAM, baru kita boleh mengadakan perbincangan dengan beliau (Kim Swee),” kata Alijus di Kota Kinabalu semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menolak dakwaan bahawa badan induk itu bersedia melepaskan Kim Swee kepada mana-mana pasukan.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa kita akan terus menggunakan khidmat Kim Swee dan beliau akan meneruskan tugasnya membimbing skuad B-23 negara yang akan menggalas cabaran di Sukan SEA Singapura pada Jun nanti,” katanya.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Kim Swee sedia mempertimbangkan tawaran daripada pasukan lain selepas FAM memutuskan untuk menggabungkan skuad Harimau Muda A dengan Harimau Muda B kendalian Razip Ismail pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia, Disember lepas.

Ekoran penggabungan tersebut, FAM membubarkan pasukan Harimau Muda A dan diganti dengan skuad Harimau Muda yang bakal menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2015 di Singapura pada 5 hingga 16 Jun nanti.

Penghijrahan Kim Swee ke Sabah turut dihangatkan dengan ketiadaan Pengarah Teknikal Sabah, George O’Callaghan pada sesi latihan skuad tersebut sejak beberapa hari lepas.

Beberapa laman sosial penyokong bola sepak Sabah turut mendakwa bahawa Kim Swee hadir pada aksi persahabatan antara pasukan berkenaan dengan Sarawak di Stadium Negeri Sarawak di Petra Jaya, Kuching, minggu lepas.

Sebagai rekod, Kim Swee pernah beraksi bersama Sabah dari 1994 hingga 1998.

Antara kejayaan yang pernah diraih pengendali kelahiran Melaka itu sepanjang mengendalikan skuad Harimau Muda A ialah muncul juara Sukan SEA 2011 di Indonesia, juara Newspaper Cup pada 2012 di Vietnam serta Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 di Pahang.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!