28 Januari 2015

Yusof (kanan) bersama Syamsul (kiri) berbincang dengan Elias berkenaan kes saman membabitkan mereka di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kes saman penulis novel Aku Bohsia, Elias Idris terhadap pengarah yang juga pelakon Syamsul Yusof dan bapanya, Datuk Yusof Haslam serta syarikat mereka gagal di­selesaikan menerusi proses mediasi.

Prosiding melibatkan dakwaan plagiat novel karya Elias itu didengar dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hasnah Mohammed Hashim semalam dan kes itu akan diteruskan menerusi proses perbicaraan.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Syamsul memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk pengurusan kes.

Di luar mahkamah, Yusof berkata, pihaknya telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes tersebut namun keengganan Elias menyelesaikan secara baik amat mengecewakan.

“Saya dan anak saya, Syamsul cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah seperti yang dinasihatkan hakim sebelum ini, namun pihak plaintif menuntut ganti rugi,” katanya.

Elias, 63, memfailkan saman terhadap Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Md. Yusof, 31, bapanya Md. Yusof Md. Aslam (Yusof Haslam), 61, dan syarikat Skop Production Sdn Bhd pada 24 November tahun lepas kerana didakwa meniru novel Elias itu dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang diterbitkan pada 2009.

Menerusi pernyataan tuntu­tannya, Elias mendakwa bahawa beliau menulis novel tersebut pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita serta pemilik hak cipta terpelihara.

Beliau mendakwa terdapat banyak persamaan dari segi tema, plot, watak dan mesej dalam novel Aku Bohsia dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!