6 Januari 2015


BATU CAVES - Jika jemaah solat Jumaat 'melimpah' sehingga ke atas jalan mungkin satu situasi yang biasa dilihat, tetapi bagaimana pula jika jemaah terpaksa menunaikan solat di hadapan imam?

Ia kedengaran pelik namun realitinya itulah yang berlaku di Masjid Amaniah di sini pada setiap hari Jumaat. Seolah-olah juga sudah menjadi kebiasaan apabila jemaah berselerakan dan solat secara berkelompok sehingga ada di antara mereka tidak mengikut arah kiblat yang betul.

Malahan ada juga yang solat berkiblatkan ruang tandas juga di atas wakaf. Keadaan tersebut difahamkan telah berlarutan dalam tempoh yang lama dan sumber memaklumkan, kebanyakan jemaah bermasalah itu terdiri daripada warga Myanmar.

Salah seorang penduduk Taman Amaniah, Faiz Azwar, 63, berkata, keadaan tidak betul ini perlu ditegur kerana dikhuatiri dianggap bersubahat dan berkongsi dosa membiarkannya berlaku.

Menurutnya, alasan ruang masjid terhad tidak boleh dijadikan alasan membolehkan solat berkelompok itu berlaku.

“Mereka (warga Myanmar) mungkin menerima pendidikan agama yang tidak sempurna, tapi sebagai orang tempatan sepatutnya kita tegur. Tak boleh kata cukup asal solat. Pihak masjid mungkin boleh cari ikhtiar memikirkan kaedah bersesuaian termasuk pasang khemah di kawasan parkir dan letak notis kenderaan diletak luar pada hari tersebut supaya jemaah lebih tersusun,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, bekas jawatankuasa masjid, Mohd Fauzi Mohamad, 43, berkata, pihaknya mencadangkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerahkan kembali pengurusan masjid kepada kariah.

“Kariah lebih tahu masalah setempat dan keperluan, kelemahan pengurusan menyebabkan masalah kemudahan dan keselesaan jemaah terjejas serta tidak terkawal. Sejak 2011 sebanyak tiga kali pengurusan masjid ditukarkan menunjukkan kelemahan, sedangkan masa kita jaga dulu masjid ini antara terbaik dalam Selangor,” katanya.

Katanya, pihak masjid juga digesa menggunakan dana atau mengeluarkan peruntukan memasang papan tanda di beberapa kawasan sebagai mendidik masyarakat berkenaan solat jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan danKeselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Batu Caves, Khalid Mohd Noor pula berkata, beliau berharap agar pihak jabatan agama daerah dan negeri mengambil pendekatan serius menyelesaikan perkara tersebut dan melakukan siasatan.

“Saya terima banyak aduan dan keluhan daripada orang awam yang kemudiannya telah dipanjangkan kepada pihak masjid, tapi tidak ada tindakan dilakukan sehingga membuatkan kami kecewa.

“Pengurusan masjid seharusnya memikirkan cara dan membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk menyelesaikan isu kepadatan jemaah ini memandangkan kawasan semakin pesat,” katanya.

Sementara itu, Bilal Kariah Masjid Amaniah, Mohd Fadzil Yatim berkata, pihak masjid telah menyediakan tambahan lima khemah untuk menampung jumlah kariah di situ.

“Ruang dalam masjid hanya mampu memuatkan antara 2,500 hingga 3,000 orang dalam satu masa saja sedangkan penduduk sekitar dan pekerja berhampiran melebihi angka tersebut.

“Kita dah buat pembesaran masjid dan pemasangan khemah tapi masih tidak cukup untuk menampungnya,”  katanya.

Katanya, jemaah secara dasarnya mempunyai pilihan tetapi lebih gemar memilih lokasi yang selesa dan mudah.

“Ada banyak ruang lagi yang boleh mereka penuhi tapi disebabkan sudah selesa di kawasan sama menyebabkan mereka solat di situ tanpa sedar telah melanggar syarat sah solat jemaah.

“Perkara tersebut akan diberi perhatian dan memikirkan langkah sesuai untuk mengatasinya,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!