29 Januari 2015


TERTUBUHNYA Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) pada 20 April 2009 yang bertujuan membantu dan menjaga kebajikan penggiat seni, terutama penggiat warga emas adalah satu petanda yang baik.

Ini bermaksud, nasib pelakon, penyanyi, pemuzik dan pengarah akan terbela terutama yang mengalami masalah kesihatan dan kurang mendapat tawaran mengadakan persembahan ataupun berlakon kerana faktor usia.

Bagaimanapun, selama lima tahun persatuan ini ditubuhkan, ramai yang tidak mengetahui kewujudannya. Bagi menjawab persoalan itu, Presiden PKAVM yang baharu dilantik, Datuk Zulkifli Zain ditemui dalam satu sidang akhbar khas di Istana Budaya baru-baru ini.

Sebelum ini persatuan tersebut diterajui oleh Allahyarham Datuk Ismail Hudson selaku Presiden PKAVM pertama dan seterusnya dipimpin oleh Allahyarham Datuk Aziz Sattar. Selepas pemergian Aziz, persatuan diselenggara oleh Kismah Johari selaku Pemangku Presiden.

HITS: Tahniah atas pelantikan Datuk, apa resolusi utama sebagai Presiden?

ZULKIFLI: Terima kasih. Saya dipilih pada 27 Disember 2014 ketika Mesyuarat Agung PKAVM yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Ingin saya kongsikan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) juga sebelum ini telah mengesahkan untuk membatalkan persatuan ini. Namun, selepas perbincangan, pihak JPPM telah memberi kelulusan untuk persatuan ini kembali berjalan. Sekarang tiada lagi masalah besar dan PKAVM masih sah wujud. Kami juga sudah ada barisan ahli jawatankuasa yang baharu dan akan bergerak dengan lebih tersusun.

Apa masalah kepimpinan sebelum ini?

Hal ini berlaku kerana mesyuarat agung tidak dibuat selama dua tahun, ia melanggar syarat JPPM. Apabila mesyuarat agung tidak dilakukan bermakna ahli sendiri tidak tahu apa yang berlaku dengan persatuan. Sepatutnya, mesyuarat agung perlu dibuat bersama ahli tetapi perkara itu tidak dibuat sehingga menimbulkan kemarahan dan persatuan dianggap tidak sah.

Ada apa-apa perkara yang dibangkitkan ketika mesyuarat agung?

Kami sudah laksanakan mesyuarat agung dan mesyuarat ahli jawatankuasa yang baharu untuk persatuan kembali aktif. Pengurusan terdahulu tidak menjalankan tanggungjawab kerana penyata kewangan dikhuatiri tidak telus. Semasa mesyuarat, kami menerima penyata kewangan tetapi tidak berpuas hati dengan laporannya.

Bayangkan duit tabung persatuan hanya tinggal beberapa puluh ringgit daripada ratusan ribu ringgit dana diperoleh sebelum ini. Baki duit persatuan kini hanya tinggal RM174 sahaja. Bagaimana kami hendak menjalankan aktiviti?

Antara kekeliruan yang timbul membabitkan penyata kewangan termasuk pembayaran sewa dan belanja pengurusan mencecah RM100,000. Dengan jumlah perbelanjaan sebanyak itu, PKAVM tidak mempunyai pejabat. Jadi ke mana duit itu pergi? Kalau belanjanya sampai RM100,000, di mana peralatan pejabat seperti komputer dan sebagainya? Sepatutnya urusan keluar masuk wang perlu ada penyata lengkap supaya dapat dibentangkan dalam mesyuarat agung.

Apakah akan ada tindakan terhadap pentadbiran lama PKAVM?

Kami akan mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa selepas ini. Perkara berbangkit akan dibincangkan dan semua tindakan adalah berdasarkan keputusan bersama. Kalau sudah ada kata sepakat, kami akan maklumkan.

Pandangan Datuk mengenai kewujudan banyak persatuan artis buat masa ini?

Sememangnya tidak perlu menubuhkan banyak persatuan. Cukup berada di bawah satu bumbung. Nanti bergaduh pula. Tidak baik kalau asyik bergaduh sehingga masalah tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Akhir sekali, apa perancangan ahli jawatankuasa baharu PKAVM?

Sebagai langkah awal, persatuan akan mengadakan majlis kesyukuran dan silaturahim sempena Maulidul Rasul pada 29 Januari ini di Dataran FINAS. Kami akan mengadakan solat Maghrib, selawat Nabi, tahlil, ceramah oleh Ustaz Amran Bollywood dan berharap para artis baharu dan lama datang bersama-sama untuk memberikan sokongan sekali gus menjalin silaturahim dan mengeratkan lagi perhubungan antara kita.

Untuk aktiviti lain, persatuan tidak akan dedahkan dahulu. Kami akan pastikan aktiviti yang akan dijalankan nanti akan membawa PKAVM ke satu landasan dan destinasi yang hendak dituju.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!