20 Januari 2015


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu siasatan yang dilakukan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, selain Anwar, mereka turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya bekerjasama dengan agensi berkenaan.

“Anwar mendakwa dia mempunyai bukti yang kukuh berkenaan kes ini. Pihak SPRM telah pun menemu bual Daim baru-baru ini.

"Keterangan yang diberikan oleh Daim, Anwar dan lain-lain saksi akan dikemukakan semula kepada timbalan pendakwa raya dan seterusnya kepada Panel Penilaian Operasi, badan bebas yang memantau operasi SPRM,” katanya.

Beliau turut menegaskan SPRM sentiasa menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional berdasarkan Akta SPRM 2009.

"Untuk makluman, siasatan ke atas Daim telah pun dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) pada 1998. Timbalan pendakwa raya yang meneliti kes ini pada masa itu telah membuat keputusan tiada tindakan lanjut (perlu diambil)," katanya.

Beliau percaya usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya  masyarakat bekerjasama dengan SPRM.

"Selaku agensi tunggal pencegahan rasuah di Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab SPRM menyiasat setiap kes rasuah mengikut undang-undang sedia ada tanpa dipengaruhi mana-mana pihak," katanya.

Sebelum ini, Anwar, yang menjadi timbalan perdana menteri dari 1993 hingga 1998, mendakwa  ada bukti penyalahgunaan kuasa Daim selain berharap SPRM tidak hanya menyasarkan kepada siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

Anwar turut membuat 15 laporan tahun lalu yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang mendesak SPRM menyiasat Daim atas dakwaan sama.

Daim, ketika mengulas dakwaan itu baru-baru ini, menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan SPRM.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!