24 Januari 2015


JAKARTA, Indonesia – Walaupun operasi mencari dan menyelamat mangsa pesawat AirAsia QZ8501 dijadualkan tamat pada 27 Januari ini, namun pihak berkuasa memberi jaminan bahawa tarikh tersebut belum muktamad.

Detik.com melaporkan, pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas), Leftenan Jeneral Henry Bambang Soelistyo berkata, meskipun operasi mencari bakal tamat minggu depan, usaha berkenaan tetap bergantung kepada keadaan semasa.

“Keadaan laut dan situasi pencarian yang berubah-ubah menyebabkan apa saja kemungkinan boleh berlaku,” katanya.


Sehubungan itu, katanya, operasi mencari pesawat Airbus A320-200 itu akan diteruskan seperti biasa dengan tumpuan untuk menemui sebanyak mungkin mangsa yang masih hilang.

“Kami akan terus mencari mangsa-mangsa yang masih belum ditemui itu, walaupun ada perancangan untuk mengeluarkan badan utama pesawat tersebut dari dasar laut. Kami akan lebih memfokuskan kepada pencarian mayat,” ujarnya.

Semalam, kumpulan penyelam berjaya tiba di bahagian fiuslaj pesawat berkenaan dan menemui empat lagi mayat menjadikan kesemua yang ditemui setakat ini sebanyak 63 mangsa.

Pesawat AirAsia QZ8501 berlepas dari Surabaya ke Singapura dengan membawa 162 penumpang dan anak kapal sebelum terhempas kerana cuaca buruk di Laut Jawa pada 28 Disember. – Agensi 

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!