25 Januari 2015


KUALA TERENGGANU 24 Jan. - Bekas Raja Permaisuri Agong keempat, Tengku Ampuan Intan Zaharah Tengku Omar Setia Raja yang juga nenda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mangkat di sebuah hospital di ibu negara, kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Almarhum, 87, yang menghidap penyakit radang paru-paru merupakan isteri kepada Sultan Terengganu ke-14, Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jenazah Almarhum dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 10 pagi esok sebelum dibawa ke Istana Maziah dan akan dikebumikan di Makam Diraja Masjid Abidin di sini selepas solat Zohor.


Rakyat boleh menziarah jenazah di istana Maziah mulai pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari dan akan disusuli dengan orang-orang kenamaan sehingga pukul 1 tengah hari.

Baginda yang memakai gelaran Tengku Ampuan Tua Terengganu dilahirkan pada 13 April 1928 di Singapura dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Telok Kurau dan Convent Katong, Singapura.

Almarhum berkahwin dengan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 3 April 1944 di Kuala Terengganu dan dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949.

Almarhum dianugerahkan Grand Order of the Mugunghwa oleh Presiden Republik Korea pada 7 Februari 1966 dan turut dianugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara pada 6 April 1966. - UTUSAN ONLINE

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!