26 Januari 2015

Peserta demonstrasi bertindak merobohkan papan tanda dan pagar penghalang di tapak projek Datum Jelatek di Kuala Lumpur, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Januari, 2015. 

Sekumpulan penduduk yang berdemonstrasi hari ini bertindak ganas dengan menceroboh tapak projek kontroversi Datum Jelatek di Taman Keramat, Selangor kerana membantah pembangunan kondominium mewah tersebut.

Kira-kira 100 penduduk sekitar berarak ke tapak projek dan bertindak memecahkan tembok zink, manakala sesetengah mereka meluru masuk ke dalam tapak projek.


Kumpulan tersebut sebelum itu berarak dengan aman tetapi kemudian bertukar menjadi agresif.

Bagaimanapun, situasi tegang berjaya dikawal selepas pegawai polis yang berada di tempat kejadian meleraikan kumpulan tersebut yang rata-ratanya penduduk tempatan.
Dua buah trak polis juga dilihat tiba mengawal situasi daripada menjadi lebih buruk.

Projek Datum Jelatek sebelum ini dibantah penduduk tempatan yang mengatakan ianya bertujuan ‎menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi "Chinese District" apabila projek kondominium itu hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.

Perhimpunan yang bermula jam 11 pagi dengan penduduk sekitar berkumpul di salah sebuah rumah penganjur di Taman Keramat bersebelahan tapak projek; orang ramai juga diberikan nasi lemak dan air mineral.

Peserta himpunan juga memakai lilitan di kepala tertulis "Anak Keramat" sebagai simbol penduduk berasal dari kawasan tersebut.

Nyanyian lagu kebangsaan dinyanyikan peserta dan kemudiaan disusuli nyanyian lagu  Warisan (Anak Kecil Main Api) yang seringkali dimainkan dalam program Biro Tata Negara dan Barisan Kita untuk menaikkan semangat.

Turut kelihatan hadir wakil Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) dan ahli kumpulan pendesak Melayu, Perkasa Selangor.

Salah seorang menendang pagar di tapak projek Datum Jelatek, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Januari, 2015.Salah seorang menendang pagar di tapak projek Datum Jelatek, pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 25 Januari, 2015.Pengerusi BBDJ, Salleh Samad berkata perhimpunan hari ini bertujuan memberikan kata dua kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali supaya menghentikan projek yang dikatakan akan memberi peluang kepada orang luar masuk ke kawasan yang majoritinya penduduk Melayu.

"Bila jadi MB (menteri besar), dia sudah masyuk. Saya cabar dia turun bertemu, tapi tidak hadir. Kalau dia hadir saya akan humban dia ke dalam longkang," kata Salleh.

"Saya cabar beliau supaya hentikan projek ini," katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil penduduk, Ariffin Abu Bakar menggesa supaya Azmin mengutamakan projek rumah mampu milik kepada penduduk sekitar dan bukan projek yang menguntungkan orang luar.

"Kami bukan anti pembangunan, tapi mahu rumah mampu milik dibina dan berikan keutamaan kepada anak keramat.

"Mana bukti kata projek ini 100% milik Bumiputera? Kita tidak boleh sabar lagi," kata Ariffin.

Dalam pada itu, Yan Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya pula menggesa supaya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berhenti mempermainkan orang Melayu.

"Hentikan daripada orang Melayu diperkotak-katik kaum lain.

"Kami tidak benci kaum lain, tapi orang Cina dan India, jangan permainkan orang Melayu," kata Abu Bakar.

Kumpulan yang berhimpun hari ini mendakwa pembinaan projek Datum Jelatek meminggirkan orang Melayu, disamping harga rumah yang terlalu tinggi menyebabkan orang Melayu tidak mampu membeli kondominium tersebut.

Mereka juga mendakwa pemilikan di kondominium tersebut kebanyakkan dibeli kaum bukan Melayu dan orang asing.

Perhimpunan ini bukan kali pertama. November tahun lepas, Salleh bersama penduduk Keramat mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di Shah Alam bagi mendesak projek tersebut dihentikan.

Baru-baru ini, Azmin mengatakan isu pembinaan kondominium tersebut sudah selesai dan  tidak lagi menimbulkan masalah dan beberapa pertemuan di kalangan masyarakat juga sudah diadakan bagi mencari penyelesaian.

Pemaju projek, DatumCorp, sebelum ini, mengatakan projek terbabit mendapat sambutan dan setakat ini 1,097 pembeli Bumiputera mendaftar dan angka dicatat melebihi daripada 674 unit disediakan. - The Malaysian Insider 




0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!