2 Januari 2015


DALAM keadaan keluarga kekasihnya sedang mengalami masalah, Zizan Razak masih meletakkan dirinya sebagai orang luar yang perlu mengambil keadaan ini sebagai panduan buat melalui kehidupan masa depannya. Bagaimanapun sebagai kekasih kepada Emma Maembong, tiada perasaan lain yang muncul, melainkan berbangga dengan sikap Emma. Mungkin ada yang menganggap Emma masih muda kalau mahu dibandingkan dengan umurnya, namun bagi Zizan, gadis itu cukup matang menangani keadaan yang melanda keluarganya kini.

Kalau diperhalusi, sengketa bermula apabila ayah kepada Emma, pelukis tersohor Ismail Embong, 66, (Maembong) menulis secara jujur di laman sosial mengenai tentangannya terhadap perkahwinan kakak kepada Emma, Yaya Maembong.

Lelaki itu kurang setuju apabila anaknya memilih tradisi berinai untuk memeriahkan acara perkahwinannya baru-baru ini.

Rentetan itu, Maembong juga membongkarkan kisah tiga dari anaknya iaitu Cha Cha, Popo dan Amad yang telah diusir dari rumah diduduki Yaya dan suaminya, Wan Raja.

Isu dalam keluarga ini semakin meruncing apabila terus dimainkan di laman sosial, termasuklah kemarahan Maembong kepada media yang memberi perhatian kepada kisah berkenaan.

Bagaimanapun menurut Zizan, sehingga ke saat ini dia masih tidak mempunyai masalah dengan ayah kekasihnya itu. Malah sebagai orang yang jauh lebih muda, dia percaya hormat penting dalam hubungan dengan lelaki yang paling disayangi Emma itu.

“Saya tidak sebelah mana-mana pihak. Bagi saya apa yang berlaku dalam keluarga lebih baik diselesaikan antara mereka.

“Pada pendapat saya yang juga seorang anak, seburuk mana juga ayah, dia tetap ayah kita. Jadi memang kita perlu hormat dan tidak boleh berkata kurang baik kepadanya,” katanya.

Sudah terdengar kisah-kisah Zizan dan Emma juga bakal disatukan tidak lama lagi, entah bila, itu persoalannya. Bagaimanapun melihat apa yang berlaku dalam keluarga Emma kini, timbul persoalan, adakah Zizan sudah juga akan menolak acara meriah untuk majlis perkahwinannya?

“Kita kena hormat permintaan orang tua, kadang-kadang dia mahukan sesuatu yang ringkas. Sebagai seorang yang muda kita perlu faham situasi itu.

“Tetapi apa yang perlu saya katakan, saya juga milik masyarakat. Saya akan cuba berlaku adil untuk memastikan keadaan berlangsung dengan baik. Hati orang tua kita jaga, dalam masa yang sama, soal peminat juga diambil kira,” katanya.

Sentiasa memuji cara Emma dalam memastikan kisah keluarganya ini tidak terus diperbesarkan, kata Zizan di saat ini Emma sedang cuba memujuk kedua belah pihak.

Justeru, tiada sebab untuk dia campur tangan memandangkan Emma lebih memahami siapa ayah serta adik-beradiknya yang lain.

“Saya puji Emma, memang dia matang untuk selesaikan keadaan ini. Malah ketika ini dia berada di kedua belah pihak untuk memujuk mereka.

“Memang kami ada berbincang soal ini, tetapi Emma lebih layak untuk membuat keputusan memandangkan dia lebih kenal setiap seorang daripada ahli keluarganya,” katanya.

Memberi pandangan dari mata kasar, kata Zizan dia melihat ini sebagai dugaan buat perhubungan yang baru bermula. Dan selaku orang yang masih mentah dengan pengalaman, Zizan tahu ini adalah langkah permulaan buat seseorang itu untuk memastikan apa yang berlaku ini diselesaikan dengan baik.

“Pada saya, ini baru permulaan dalam hubungan kami, pada masa hadapan ada banyak lagi cabaran. Kalau ini dapat diselesaikan dengan baik, mungkin pada masa hadapan juga cabaran yang datang itu lebih mudah untuk diselesaikan,” katanya.

Mengenai penerimaan keluarga, terutamanya ibunya, Anai Ibrahim, 57, dalam soal ini, kata Zizan itu bukan kegusaran hatinya. Keluarganya juga tidak menjadikan hal ini sebagai satu masalah besar pun.

“Ibu saya memang tidak ambil tahu. Sebagai seorang ibu yang kenal anaknya, dia percaya dengan saya. Saya tidak risau dengan ibu saya,” katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!