18 Februari 2015


"Jika benar kes ini adalah konspirasi, mengapa Saiful terpaksa ke tiga buah hospital untuk membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu sehingga malam sebelum dapat berjumpa pakar?"

Itu persoalan yang dilempar Pendakwaraya kes Liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mempertikaikan tuduhan pembangkang bahawa kes itu satu konspirasi.

Tegasnya, seandainya bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan merupakan 'alat' untuk mengenakan pembangkang, kerajaan pasti akan memudahkan proses 'konspirasi' berkenaan dengan langkah yang tidak menyusahkan.

"Awal pagi Saiful ke Hospital Tawakal dan tidak ada doktor pakar untuknya, kemudian dia ke Hospital Pusrawi dan pakar menasihatkannya ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan.

"Saiful sampai ke HKL pada pukul 3.30 petang, jika pada saat ini ada tuduhan konspirasi lagi. Saya pun tidak tahu hendak cakap apa lagi kerana dia menunggu sehingga ke pukul 9.30 malam sebelum dapat berjumpa pakar," katanya.

Shafee berkata demikian semasa Dialog Bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) di sini pada malam Selasa.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Abd. Rahman Mohd Reza.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.

Anwar kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari hampir tujuh tahun lalu.

Dalam pada itu Shafee menafikan dia menjadi agen UMNO kerana penglibatannya di dalam majlis penerangan berkenaan.

Ketika menjawab beberapa soalan daripada hadirin, Shafee menegaskan kehadirannya adalah kerana mahu menjelaskan situasi sebenar selepas kes itu selesai selain tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam UMNO.

"Saya merupakan seorang peguam profesional yang tidak mempunyai kaitan atau menjadi ahli dengan mana-mana parti politik.

"Saya adalah antara individu yang menyebabkan UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1986, dengan mewakili pihak yang kemudiannya menubuhkan parti Semangat 46, ketika berlaku kemelut dalaman UMNO pada ketika itu.

"Jika tahu sejarah saya dengan UMNO, macam mana tuan-tuan boleh kata saya peguam UMNO?" tegasnya.

Sementara itu, Shafee memberitahu, hukuman yang dikenakan kepada Anwar adalah terlalu minimum selain mengakui telah mempersoalkan isu itu di mahkamah.

"Anwar seharusnya berterima kasih kerana mahkamah mempertimbangkan faktor usianya dalam menjatuhkan hukuman," ujarnya.

Sementara itu di dalam ucapan aluan, Khairy memberitahu, sesi penerangan berkenaan juga akan diadakan di beberapa negeri.

"Kita sudah tunggu lebih enam tahun sebelum kes ini selesai. Kita bersabar dan menanti masa sesuai untuk memberitahu fakta kes ini kepada umum.

"Jangan anggap kita akan diam selepas ini, kita akan melawan tuduhan konspirasi politik ini dan kita akan bawa Tan Sri Muhammad Shafee untuk menjelaskan kebenaran," jelasnya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!