2 Februari 2015


Dianjak layu, dibubut mati. Itulah pendirian tegas yang diharapkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berhubung cadangan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penjualan minuman keras di kedai 24 jam di kawasan majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam.

Keputusan berkenaan sudah dipersetujui dalam mesyuarat EXCO baru-baru ini, termasuk oleh wakil MCA kerana bertujuan baik, terutama bagi mencegah minuman keras di kedai 24 jam dijual kepada pelanggan yang tidak sepatutnya. Malah, seperti kata Idris, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneliti komposisi kaum di sekitar kedai 24 jam, sebelum keputusan dibuat mengenai larangan penjualan minuman keras di lokasi terbabit. Untuk itu, kerajaan negeri hanya membenarkan penjualan minuman keras di kedai 24 jam terletak di kawasan mempunyai penduduk Islam di bawah 90 peratus, antaranya seperti di Malim dan Cheng.

Mudah dan tanpa berbelit-belit keputusan berkenaan. Namun, cadangan itu pastinya membangkitkan sentimen, apatah lagi kalau dipolitikkan. Untuk rekod, mengikut statistik tahun 2010 penduduk Melaka, kira-kira 821,110 orang tinggal di negeri itu dengan 526,500 adalah Melayu, Cina (207,400), India (49,000) dan selebihnya kaum lain dan warga asing.

Majoriti penduduk kawasan bandar, termasuk di bandar kecil adalah yang berketurunan Cina. Orang Melayu-Islam, terutama ibu bapa menarik nafas lega dengan ketegasan Idris untuk melaksanakan peraturan itu, apatah lagi ia mengikut syariat Islam. Namun, ia dilihat sebaliknya pula oleh MCA yang melihat tindakan Idris itu bakal mewujudkan pengasingan kaum.

Hujah pemimpin MCA yang juga Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Melaka, Senator Koh Chin Han agak dangkal dan keterlaluan apabila mengaitkan larangan menjual arak di kedai 24 jam seperti mahu memisahkan kejiranan sesama kaum, namun agak menghairankan kerana suara itu datang daripada sebuah parti komponen dalam kerajaan.

Pertembungan secara terbuka ini sudah pasti menguntungkan pihak lain, yang sememangnya suka melihat berlaku percakaran antara ahli komponen Barisan Nasional (BN), sedangkan ia boleh dielakkan jika wakil MCA dalam kerajaan negeri memberikan rasional di sebalik cadangan Idris itu kepada pemimpinnya sama ada pada peringkat negeri mahu pun Pusat.

Akibatnya, rumah siap pahat berbunyi. Apapun, MCA negeri sewajarnya menasihatkan Chin Han supaya tidak melalut sehingga menimbulkan pelbagai senario, termasuk menimbulkan pertanyaan sama ada langkah itu akan diperluaskan ke Kem Terendak yang menjual arak di mes pegawainya.

Malah, dia juga mempersoalkan sama ada kerajaan akan mengenakan langkah sama di lapangan terbang yang layanan dalam pesawat komersialnya menyajikan minuman beralkohol. Bagi Idris, teruskan cadangan itu jika ia membawa kebaikan untuk semua dan demi kemaslahatan umat. Seperti kata peribahasa, datar bak lantai papan, licin bak dinding cermin
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!